Video tular diambil di luar konteks, cubaan calar imej — Fadhlina


  • Primer
  • Ahad, 31 Mac 2024

Fadhlina terima ugutan daripada warga maya susulan dakwaan beliau mengharamkan anak-anak menggunakan perkataan kafir di rumah.

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan video tular di media sosial berkaitan isu kafir telah diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.

Fadhlina berkata, penularan video itu turut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.

Menjelaskan mengenai video itu, Fadhlina memberitahu bahawa video tular itu adalah keratan yang diambil daripada pertemuan tertutup beliau dengan kumpulan tertentu, yang telah dirakam dan ditularkan dengan tafsiran di luar konteks untuk mencipta polemik dan bersifat fitnah.

“Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah ‘kafir’ di rumah.

“Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir," katanya.

Fadhlina menegaskan, beliau melarang anak-anaknya menyebut istilah kafir kerana ia mempunyai konotasi kebencian terhadap kaum bukan Islam yang sama-sama tinggal di negara ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh

2619931

Tangkap layar laporan polis yang dibuat Fadhlina.

Jelas beliau, isu sebutan kafir atau bukan Islam bukanlah tindakan beliau melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan di dalam kitab berkenaan.

“Ia adalah suatu isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian. Malah, Almarhum Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi dan juga Shaykh Prof Dr Ibrahim al-Hudhud (mantan rektor Universiti Al-Azhar) mengakui panggilan ‘ghayru Muslim’ (bukan Islam) untuk digunakan termasuklah dalam penggunaan panggilan sosial.

“Hakikatnya, langsung tidak timbul isu menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Haram guna perkataan kafir: Fadhlina Sidek buat laporan polis terhadap 2 pengendali akaun Facebook

Sehubungan itu, beliau berkata peguamnya dalam proses mengumpulkan bukti menerusi media sosial yang pelbagai termasuklah dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium.

“Saya memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak, atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya," katanya.

Katanya, dia tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat, serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri dan keluarganya.

Terdahulu, perkongsian video dan poster yang diedit itu menjadi bualan ramai sejak ia disebarkan di media sosial sejak Jumaat, selain menerima ancaman keselamatan.

Penyebaran video itu membuatkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga mengancam keselamatan dirinya.

Susulan itu, dia membuat laporan polis terhadap dua individu di sebalik akaun Facebook berhubung fitnah yang dilemparkan ke atas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram