'Kesian kaki kena ketuk batu bata, kemaluan dicucuk jari', jiran bantu tuntut bela kanak-kanak perempuan kena pukul budak sekolah


  • Tular
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Kanak-kanak perempuan yang cedera parah selepas dipercayai dipukul dengan teruk oleh empat individu baru-baru ini.

SEORANG kanak-kanak perempuan terpaksa menanggung kesakitan selepas dipercayai dipukul seramai empat individu yang masih bersekolah dalam kejadian di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Menerusi hantaran dimuat naik di Twitter (X) @_itsnhj_ pada Rabu, mangsa yang dikenali sebagai Cahaya cedera parah di kaki, perut, hidung dan anggota sulitnya.

Menurut satu mesej yang diterimanya, keempat-empat individu yang dipercayai melakukan perbuatan buli itu terdiri daripada seorang murid lelaki berumur tujuh tahun (darjah satu), dua murid perempuan lapan tahun (darjah dua) dan seorang pelajar lelaki 14 tahun (tingkatan dua).

BACA LAGI: Bekas Ahli Parlimen Pahang mohon maaf, mengaku terlepas pandang pantau cara lupus beras

GLdGdbKbMAAs38o

Keadaan kaki mangsa selepas diketuk dengan batu bata. — Twitter

@_itsnhj_ mendakwa mangsa adalah jiran kepada kakaknya dan mereka tinggal berhampiran kawasan rumah di kawasan Hulu Langat.

Dia berbuat demikian kerana mahu membantu keluarga mangsa yang juga warga asing.

"Cahaya cakap anak jiran depan rumah yang buat. Mulut kena sellotape (pita pelekat), kaki kena ketuk dengan batu bata, leher dicekik.

"Hidung kena sepit dengan penyepit baju dan perut ditumbuk," katanya.

Dakwanya lagi, mangsa sudah dibawa ke Hospital Kajang dan hasil pemeriksaan doktor mendapati bahawa tiada keretakan atau patah tulang berlaku, namun terdapat sedikit koyakan pada tisu organ mangsa.

Mangsa juga dikatakan kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sedang mendapatkan rawatan lanjut akibat keadaan kakinya yang semakin parah.

"HKL juga ada beritahu anggota sulitnya merah, pedih, sakit nak kencing sebab kena cucuk dengan jari.

"Sekarang Cahaya terlantar di HKL, dah bedah kaki, darah beku dan nanah," dakwanya.

Susulan itu, pengguna akaun itu mendakwa bahawa ahli keluarga mangsa juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian namun tiada tindakan boleh diambil.

"Dah repot polis, tetapi Polis Kajang cakap tak boleh buat apa-apa sebab bawah umur," menurut mesej tersebut.

BACA LAGI: Kapal maritim terbakar, hanyut sebelum diselamatkan MPA Singapura

GLdGeYwbEAAqoCD

Hantaran mesej yang dimuat naik di akaun Twitter itu.

Sementara itu, menurut seorang peguam, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar, ibu bapa mangsa boleh menuntut bela di mahkamah mengikut akta-akta yang sesuai.

Malah Muhammad Akmal memaklumkan, dalam kes itu, ia turut terpakai kepada warga asing kerana kejadian berlaku di dalam negara.

Dia turut berkongsi tentang jenis-jenis kesalahan yang melibatkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

"Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang telah berkuat kuasa sejak 10 Julai 2017 dengan penambahan dan penambahbaikan daripada rang undang-undang yang mengisi jurang dan cabaran yang telah dikaji dan disemak semula bagi memastikan perlaksanaan yang lebih lancar supaya akta ini dapat dicapai.

"Bahagian 6 bagi kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan amang seksual, Seksyen 15 telah mengatakan amang seksual fizikal atas kanak-kanak jikalau didapati telah melakukan kesalahan seperti diberi garis panduan seperti berikut," katanya kepada Majoriti.

1. Menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak.

2. Membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang itu atau bahagian badan mana-mana orang lain.

3. Membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak itu sendiri atau melakukan apa-apa perbuatan lain yang melibatkan kontak fizikal dengan seseorang kanak-kanak tanpa persetubuhan.

4. Melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Akmal berkata, kes tersebut bagaimanapun amat susah untuk dibuktikan jika ia tidak mempunyai bukti-bukti yang cukup.

"Kes-kes berkenaan kelakuan jenayah seksual ini amat susah untuk dibuktikan dan boleh kita merujuk di dalam kes prolifik seperti Siti Bainun yang terbaharu yang mana pertuduhan dilaksanakan kepada beliau dikenakan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Hal ini kerana, pertuduhan jenayah seksual boleh ditukar jikalau ianya tidak mempunyai bukti-bukti yang cukup dan ianya boleh jatuh di bawah peruntukan Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-Kanak.

"Ia boleh ditafsirkan dan dibaca sekali dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan jikalau perlu memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram