Bekas Ahli Parlimen Pahang mohon maaf, mengaku terlepas pandang pantau cara lupus beras


  • Primer
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Terdapat beberapa makanan lain termasuk sardin, tepung dan serbuk minuman yang dibuang dan dibakar di tempat pelupusan sampah di Pahang pada 5 April lalu.

BEKAS Ahli Parlimen Kuala Krau, Pahang, Datuk Seri Ismail Mohamed Said memohon maaf dan mengakui kesalahannya susulan isu tular berhubung pembuangan beras dan barangan makanan lain.

Ismail pada masa sama menyatakan rasa kesalnya dan mahu bertanggungjawab ke atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan.

"Saya mengambil maklum dan berterima kasih atas keprihatinan serta sensitiviti rakyat Malaysia terhadap isu yang tular berkaitan pelupusan beras dan barang dapur di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur–Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pelupusan barangan yang berlaku ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: KPB digesa siasat insiden bakar beras di Pahang — Mat Sabu

320889729_1219227818666377_120560426964177539_n

Ismail yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau. — Facebook/Ismail

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, beras dan barangan dapur tersebut merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika menyandang jawatan Ahli Parlimen Kuala Krau.

Jelasnya, barangan dapur tersebut disediakan dan menggunakan peruntukan peribadi sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada 2022 dan dalam tempoh berkempen tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

BACA LAGI: Rosak sebab banjir atau sorok sampai luput? Lambakan pek beras terbuang di Pahang bangkit persoalan

Katanya, pembelian barangan tersebut tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang.

"Barangan tersebut terpaksa dibuang berikutan aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan pada 5 April lalu.

"Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk, kutu beras. Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar.

"Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan," jelasnya.

Sebelum ini, isu tular tersebut mendapat perhatian sehingga menimbulkan persoalan tentang mengapa barangan keperluan terutamanya beras dibakar secara terbuka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kemudiannya mengarahkan Kawalselia Padi dan Beras untuk menyiasat kejadian pembuangan beras di Kuala Krau, Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram