[VIDEO] Kami cuma nak bantu mereka balik kampung dengan selamat — Penduduk Ladang Bikam


  • Massa
  • Rabu, 17 Apr 2024

Perkongsian oleh Zainul Annuar mengenai bantuan diterimanya oleh penduduk Ladang Bikam mencuri perhatian warganet.

TANPA disangka, niat murni ingin membantu orang ramai telah menarik perhatian seluruh negara. Baru-baru ini, tindakan sekumpulan penduduk di Kampung Baru Pelawan dekat Langkap, Perak telah mencuri perhatian orang ramai.

Tindakan mereka adalah dengan membantu membaiki jalan yang tidak berada dalam keadaan baik di kawasan tersebut. Ia bertujuan bagi memastikan laluan tersebut dapat digunakan oleh para perantau yang pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Lee Weng Foong, dia sangat gembira usaha murni dia dan rakan-rakan berjaya memudahkan urusan balik kampung untuk bertemu keluarga dan sanak saudara.

"Kami sangat gembira dapat membantu orang ramai. Kami amat terkejut kerana video itu menjadi tular dan terharu dengan pujian apabila saya membaca komen positif daripada warganet yang menghargai usaha kami.

"Terima kasih atas penghargaan, kami cuma membantu sekadar yang kami mampu. Kami cuma mahu mereka pulang dengan selamat. Itulah yang paling penting," kata Weng Foong.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat bantu baiki ‘jalan tikus’, urusan jual beli pun senang — Netizen

BACA LAGI: 6,034 guru kontrak sudah ditempatkan di sekolah seluruh negara

Laluan yang terletak di ladang kelapa sawit bersambung dengan jalan utama yang menghubungkan Chui Chak ke Bidor serta Kuala Bikam.

Jalan sejauh tiga kilometer itu yang dikenali sebagai Ladang Bikam sememangnya menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk mengelak kesesakan di jalan utama setiap kali musim perayaan.

"Jalan di ladang sejauh tiga kilometer telah menjadi jalan pintas buat pengguna jalan raya bagi mereka yang ingin mengelak kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan.

"Saya rasa pelik kerana bila malam, banyak kereta yang berpatah balik. Kami ada tahan kereta (yang cuba berpatah balik), dari situ kami tahu jalan telah pun rosak dan tidak boleh digunakan," kata seorang lagi penduduk iaitu Chung Kok Keong.

Kok Keong berkata, usaha untuk membaiki jalan itu dimudahkan apabila terdapat rakannya yang mempunyai jengkaut untuk membaiki jalan tersebut.

Usaha yang hanya memerlukan 10 minit saja untuk disiapkan telah memberikan manfaat kepada 12 kereta yang berjaya melalui jalan tersebut.

"Kami cuma fikir nak bantu orang kerana kami tahu kerja membaiki jalan boleh diselesaikan pada waktu yang singkat.

"Ia memerlukan kurang daripada 10 minit (untuk disiapkan) dan dalam 12 kereta berjaya melalui jalan tersebut," ujar Kok Keong.

Sebelum ini tular mengenai perkongsian oleh Zainul Annuar mengenai bantuan yang diterima oleh penduduk Ladang Bikam apabila perjalanannya terganggu kerana jalan rosak.

Perkongsiannya itu telah menjadi tular hingga meraih reaksi positif oleh warganet mengenai budi yang dilakukan penduduk kawasan tersebut. — THE STAR/N. TRISHA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram