Aman Palestin lancar tabung mohon bantuan orang ramai tampung kos mahkamah lebih RM2 juta


  • Massa
  • Sabtu, 02 Mac 2024

Aman Palestin melancarkan tabung derma bagi menampung kos urusan mahkamah bernilai lebih RM2.2 juta.

SELEPAS dihadapkan dengan 52 pertuduhan pecah amanah pada 15 Februari lalu, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) kini melancarkan Tabung Solidariti Kes Aman Palestin bertujuan bagi menampung kos urusan mahkamah lebih RM2.2 juta.

Ia juga dilakukan susulan pembekuan akaun yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook, pertubuhan itu meminta orang ramai membantu mereka membersihkan kembali nama baik Aman dan bebas daripada segala pertuduhan di mahkamah.

BACA LAGI : Pengarah Aman Palestin mengaku tidak bersalah 52 pertuduhan pecah amanah

One of the three individuals Aman Palestin Berhad Executive Chairman of the Board of Directors Abdullah Zaik Abdul Rahman who are believed to be involved in money laundering and misappropriating public donations of Aman Palastin arrives at Shah Alam Sessions Court,Selangor. February 15, 2024.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Abdullah Zaik ketika dihadapkan ke mahkamah pada 15 Februari lalu. — The Star

Terdahulu, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut mengaku tidak bersalah atas 164 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, penipuan dan pecah amanah bernilai kira-kira RM39.53 juta.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing ketika itu didakwa atas 52 pertuduhan pecah amanah harta milik Aman Palestin bernilai RM20,946,498.80 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan penipuan dengan memperdayakan Aman Palestin menyerahkan wang keseluruhan RM39,150,000 kepada Samudra Champa Sdn. Bhd (Samudra Champa) bagi pembelian emas seberat dua hingga 12 kilogram (kg).

Pada 23 November 2023, SPRM membekukan 41 akaun bank Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM15.86 juta.

2544522

Pembekuan akaun bank Aman Palestin menyebabkan penutupan beberapa cawangan organisasi itu.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2023.

Pembekuan itu turut menyebabkan organisasi itu yang ditubuhkan sejak 2004 terpaksa menutup 13 daripada 20 cawangannya di seluruh negara.

Pada 13 Februari, Pengurus Jabatan Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Ismail Muhammad Jufri dilaporkan berkata, hampir 100 daripada 150 kakitangan diberitahu untuk mengambil cuti tanpa gaji.

Rentetan itu, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan meminta suruhanjaya itu membenarkan Aman Palestin menghantar bantuan sebanyak RM10 juta kepada rakyat Palestin berikutan situasi di Gaza pada masa itu dijangka menjadi lebih buruk semasa musim sejuk.

Pada 1 Februari lalu, Aman Palestin merayu kepada mahkamah supaya membatalkan pembekuan ke atas 11 akaun banknya.

Organisasi tersebut dalam rayuannya berkata memerlukan lebih RM770,000 sebulan untuk menampung kos operasi dan pembayaran gaji kakitangannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram