'Henti jual senjata kepada rejim Zionis', penjawat awam Jerman mula 'tekan' kerajaan


  • Benua
  • Isnin, 08 Apr 2024

Penduduk Palestin meninjau keadaan rumah mereka yang musnah akibat dibedil rejim Zionis. — Reuters

KUMPULAN penjawat awam Jerman menghantar surat bagi menggesa Canselor Olaf Scholz dan beberapa menteri kanan lain untuk menghentikan serta-merta penjualan senjata kepada Israel.

"Israel melakukan jenayah kemanusiaan di Gaza, jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Kami sebagai penjawat awam juga terikat dengan undang-undang ini," demikian kenyataan dalam surat tersebut yang turut memetik kenyataan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari yang mendakwa tindakan rejim Israel di Gaza sebagai genosid.

Berdasarkan kenyataan lima muka surat itu, kira-kira 600 penjawat awam menyuarakan sokongan terhadap inisiatif tersebut yang turut mendapat sokongan daripada golongan profesional dan sejumlah menteri sejak beberapa bulan lalu.

BACA LAGI: MP PKR tawar diri jadi peguam Akmal Saleh

Kenyataan itu turut menggesa kerajaan Jerman memberi tekanan kepada Israel agar melaksanakan gencatan senjata di Semenanjung Gaza selain mengiktiraf wilayah Palestin sebagai sebuah negara.

Pada 2023, Jerman meluluskan eksport senjata bernilai AS$354 juta (RM1.6 bilion) kepada Israel, jumlah yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dan merangkumi kira-kira 30 peratus senjata Israel.

Data Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm juga mendapati 99 peratus senjata Israel datang dari Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.

Life amid the ruins: Children playing in the rubble of a destroyed building in Rafah in the southern Gaza Strip. — AFP

Kanak-kanak Palestin tetap ceria menjalani kehidupan seharian walaupun negara mereka dilanda perang. — AFP

Surat gesaan itu dihantar menerusi emel kepada beberapa kementerian pada minggu lalu.

Langkah itu diambil selepas ada penjawat awam kanan yang dikenakan tindakan disiplin gara-gara membuat aduan berhubung sokongan Jerman kepada Israel.

Malah pengadu turut diberi amaran agar tidak memanjangkan isu tersebut.

Al Jazeera telah mengesahkan dua penama dalam surat tersebut, termasuk seorang yang berada di pihak kementerian.

BACA LAGI: Warga emas ada sejarah penyakit jantung dikhuatiri hilang lepas keluar rumah di Kuala Terengganu

Golongan diplomat dikatakan bimbang tentang kerosakan reputasi Jerman dan hubungan antarabangsa terutamanya dengan negara Islam susulan penjualan senjata kepada Israel.

Kerajaan Jerman bagaimanapun tidak memberi maklum balas tentang surat tesebut.

Perang Israel-Gaza kini memasuki bulan ketujuh selepas Hamas melancarkan serangan mengejut ke wilayah haram rejim pada 7 Oktober tahun lalu.

Susulan serangan itu, rejim Zionis bertindak balas dengan melancarkan serangan darat dan udara sehingga mengorbankan lebih 30,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram