Minum air oren rakan ketika berbuka puasa, pekerja kilang mati ditikam di Shah Alam


  • 112
  • Rabu, 20 Mac 2024

Seorang lelaki Bangladesh maut ditikam rakan sekerja ketika sedang berbuka puasa dalam kejadian di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

SEORANG warga Bangladesh maut ditikam hanya kerana meminum air oren milik rakan sekerjanya semasa berbuka puasa.

Kejadian berlaku di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.20 malam.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek iaitu seorang lelaki Pakistan berusia 51 tahun berang apabila mangsa meminum air orennya ketika berbuka puasa.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai asrama kilang.

“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa yang mana suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: Ariana Grande sah bercerai, perlu bayar RM2.64 juta kepada bekas suami

WhatsApp Image 2024-03-20 at 12.01.21 PM

Seorang lelaki maut selepas minum air rakan semasa berbuka puasa. — Polis Shah Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Nenek meniarap selamatkan cucu nyaris kena patuk ular tedung masuk rumah

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan pada pukul 7.30 malam di lokasi kejadian dan semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja.

Katanya, turut dirampas adalah pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau pemenjaraan bagi satu tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Asistan Superintendan Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-2255597,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram