HAMPIR dua tahun sudah berlalu, Hizanawati Abu Bakar masih belum dapat melupakan anak lelakinya, Muhammad Damin Mikhail Kamsol yang meninggal dunia dalam tandas awam terbakar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 dekat Puncak Alam, Selangor.
Damin Mikhail yang berusia 16 tahun pada ketika itu ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh pihak anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) selepas tidak berjaya menyelamatkan diri.
Ibu kepada enam orang anak itu berkata walaupun sudah dua tahun berlalu, namun kesedihan dan bayangan arwah masih melekat di hatinya.
"Saya reda dengan pemergian, arwah namun hati ini masih rindu apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri.
"Arwah seorang yang rajin membantu mengemas rumah. Selalunya arwah akan membantu melakukan tugas-tugas yang berat. Dia seorang yang ringan tulang," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] Setahun berlalu, ibu Damin Mikhail masih rindu, tak masak lauk kegemaran anak
Hizanawati masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang mengorbankan nyawa anak lelakinya.
Tambah Hizanawati, Aidilfitri 2024 juga suram buat dia sekeluarga selepas ketiadaan Damin Mikhail.
"Kami tidak merancang ke mana-mana. Syawal yang pertama saya akan ke kubur arwah dan arwah abang Damin (Haikal) bagi mengubati kerinduan.
"Sambutan raya sudah tidak sama seperti dahulu lagi semenjak pemergian arwah.
"Bila dikenangkan semula, air mata ini juga menitis setiap kali melihat baju Melayu raya terakhirnya. Atas sebab itu, saya langsung tidak membeli pakaian raya atau balik ke kampung di Bota Kanan, Perak.
"Baju Melayu warna ungu arwah masih saya simpan kerana itu adalah baju raya terakhir yang arwah pakai.
“Baju Melayu itu memang Damin suka sangat pakai, baju itu saya yang pilih warna, dia suka sangat bila dapat baju tersebut," luahnya dalam nada sebak.
BACA LAGI: Dakwa tertuduh menipu, ibu Damin Mikhail dedah kronologi sebenar kematian anak
Baju melayu raya terakhir arwah Damin yang masih lagi disimpan oleh Hizanawati.
Hizanawati turut menceritakan tentang masakan kegemaran anaknya, lauk ayam masak lemak cili api yang menjadi menu kegemaran Damin setiap kali lebaran.
"Setiap kali hari raya memang arwah akan cari lauk ayam masak lemak cili api dahulu," katanya
Tambahnya lagi, tragedi hitam yang menimpa anak lelakinya itu masih segar di ingatan.
"Dalam kejadian pada 28 Ogos 2022, Muhammad Damin dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.
"Walaupun kedua-dua pelaku sudah dijatuhkan hukuman tetapi saya berasakan hukuman itu tidak setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan pada anak saya.
"Saya kehilangan anak sedangkan kini mereka bebas di luar sana tetapi saya hormat keputusan mahkamah. Semoga suatu hari nanti arwah Damin dapat keadilan.
"Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa supaya rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman," luahnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram