[VIDEO] Mangsa tragedi letupan pelabuhan Beirut masih menunggu keadilan lepas hampir 4 tahun


  • Benua
  • Isnin, 08 Apr 2024

Kesan letupan pelabuhan di Beirut, Lubnan yang turut memusnahkan hampir keseluruhan bandar tersebut.

MEMASUKI tahun keempat, mangsa tragedi letupan pelabuhan Beirut, Lubnan masih lagi belum menerima keadilan daripada pihak yang bertanggungjawab susulan insiden yang berlaku pada 4 Ogos 2020.

Insiden itu mengorbankan lebih 200 nyawa, berpunca daripada simpanan bahan kimia ammonium nitrat, yang turut menghancurkan sebahagian besar bandar tersebut.

Namun sehingga hari ini, kerajaan masih lagi berdiam diri tentang insiden tragis itu dan tiada pihak yang disabitkan dengan kejadian tersebut.

Antara nyawa yang terkorban ialah bayi lelaki lima bulan, Qusai Ramadan yang merupakan pelarian daripada Syria.

Menurut ibu bapa mangsa, Qusai meninggal dunia akibat dihempap siling dan almari di bilik hospital, namun mangsa gagal diletakkan dalam senarai rasmi meninggal dunia, yang membolehkan mereka menerima pampasan.

Ibu bapa mangsa juga mendakwa bahawa pihak berkuasa mendiksriminasi mangsa yang bukan warga Lubnan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas 26 jam terperangkap, lelaki mati tersepit di laluan sempit dibiar bersemadi dalam gua

BACA LAGI: [VIDEO] Pelantar minyak meletup di Mexico, 11 pekerja syarikat petroleum terkorban

Satu perlima daripada 2,754 tan yang dipunggah pada tahun 2013 itu meletup, dan menyebabkan gegaran dirasai sejauh 250 kilometer (km) di Cyprus.

Menurut laporan, ramai pegawai atasan mengetahui tentang kewujudan bahan kimia tersebut, termasuklah Presiden Michel Aoun dan Perdana Menteri Hassan Diab.

Hakim Fadi Sawan, yang dilantik oleh menteri kesihatan untuk menyiasat kejadian tersebut mendakwa tiga bekas menteri dan Hassan Diab atas kesalahan cuai pada Disember 2020, namun pada Februari 2021, dua bekas menteri iaitu Ali Hassan Khalil dan Ghazi Zeitar mendakwa hakim tersebut melampaui kuasanya.

images

Tangkap layar daripada sebuah video yang merakamkan insiden letupan tersebut

Kerajaan juga dilihat cuba menyalahkan kumpulan Hezbollah atas kejadian itu tetapi parti tersebut menolak dakwaan bahawa mereka mengawal pelabuhan atau menyimpan senjata di pelabuhan Beirut.

Ekoran itu, mangsa tragedi berkenaan membawa kes itu ke mahkamah luar negara.

Pada 2023, mangsa letupan memfailkan tuntutan sebanyak AS$250 juta (RM1.18 billion) di Amerika Syarikat terhadap sebuah syarikat kapal yang dikaitkan dengan letupan itu.

Kemudian pada Jun tahun yang sama, mahkamah London membayar pampasan sebanyak AS$1 juta (RM 4.7 juta) kepada mangsa yang terlibat.

Tetapi, identiti pemilik firma British yang memiliki bahan kimia tersebut tidak didedahkan selain tiada maklumat tentang pihak yang membayar pampasan itu.

Dalam perkembangan terbaharu, Perancis dilaporkan akan terlibat dalam proses membina semula pelabuhan tersebut.

Dua syarikat kejuruteraan Artelia and Egis, terlibat dalam pelan pembangunan semula menerusi tajaan daripada kerajaan Perancis.

Sebuah lagi agensi awam, Expertise France juga akan terlibat untuk menjalankan kajian bagi meningkatkan tahap keselamatan di pelabuhan itu.

Kos pembinaan semula kawasan tersebut dianggarkan menelan belanja antara AS$60 (RM285 juta) hingga AS$80 (RM377 juta). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram