TARIKH 1 Syawal sememangnya hari cukup bermakna buat seluruh umat Islam termasuk di Malaysia.
Selain menandakan tamatnya bulan Ramadan yang menyaksikan umat Islam menjalani ibadah puasa selama sebulan, 1 Syawal juga merupakan waktu di mana umat Islam memulakan sambutan Aidilfitri.
Pada waktu ini juga, adalah kebiasaan bagi ibu bapa sama ada yang tinggal di bandar mahupun kampung untuk menantikan kepulangan anak-anak dan ahli keluarga yang tersayang.
Bagaimanapun, tidak semua berpeluang merayakan kepulangan orang yang tersayang setiap kali menjelang 1 Syawal.
Bagi Rohaya Nemat, 57, Aidilfitri kali ini merupakan tahun kelapan buatnya beraya tanpa kehadiran cucu kesayangan, Qaseh Qumaira Damia Abdullah yang hilang tanpa jejak sejak 2017.
Qaseh yang lebih mesra dipanggil Mia hilang pada 23 Januari 2017 selepas dia kali terakhir dilihat bermain bersama adiknya di sekitar kawasan perumahan Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor.
Dia yang ketika itu baru berusia lapan tahun dan belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Saujana dilihat kali terakhir memakai baju -t dan berseluar sukan.
Rohaya berkata, meskipun sudah lapan tahun selepas kehilangan cucu sulungnya itu, dia masih merasai kesedihan cukup mendalam setiap kali tibanya bulan Ramadan dan Aidilfitri.
BACA LAGI: Logo tapak kasut Vern's tidak menyerupai kalimah ALLAH dalam seni khat — Pakar
Qaseh kali terakhir dilihat bermain bersama adiknya di sekitar kawasan perumahan Taman Saujana, Kota Tinggi pada 23 Januari 2017. — Facebook/GambarHiasan
BACA LAGI: Lelaki disyaki 'perisik' Israel didakwa Jumaat ini
"Bila tiap kali beli baju raya mesti teringat dia. Sebabnya dia memang rapat dengan saya.
"Sampai mati pun saya rasa akan tak boleh lupakan dia," katanya kepada Majoriti.
Menurut Rohaya, Qaseh yang merupakan anak sulung kepada dua beradik itu sememangnya rapat dengannya memandangkan cucunya itu sudah tinggal dan membesar bersamanya sejak bayi sehingga waktu mula bersekolah.
Malah katanya, kanak-kanak malang itu juga lebih banyak meluangkan masa bersama dengan dirinya sejak lahir berbanding dengan ibu kandungnya.
Disebabkan itu, Rohaya berkata, kehilangan Qaseh sejak tujuh tahun lalu itu sememangnya memberikan kesan yang cukup besar buat dirinya.
"Tipulah kalau saya cakap saya dah tak ingat dia. Kalau kucing hilang pun kita menangis, apatah lagi cucu kita sendiri," ujarnya.
Bagaimanapun, selepas lebih tujuh tahun kehilangan cucunya itu tanpa sebarang petunjuk baharu, dia kini seakan-akan sudah reda dengan ketentuan yang diberikan.
Rohaya berkata, dia dan keluarga sebelum ini juga sudah mencuba pelbagai ikhtiar termasuk menggunakan kaedah tradisional, namun masih menemui jalan buntu.
"Akak sekarang ini dah macam reda sahaja. Kalau tak reda mungkin hari-hari akak akan menangis sebab teringat dia.
"Kita merancang, tapi mungkin tuhan punya kuasa ada sebab benda ini semua terjadi. Kita yang masih ada ini kena teruskan hidup dan sentiasa doakan yang terbaik untuk Mia," katanya.
Rohaya berkata, sejak 2017, pihak polis masih belum menemui sebarang petunjuk baharu mengenai keberadaan cucunya itu.
Dalam siasatan awal berhubung kes berkenaan, polis dilaporkan turut menolak kemungkinan bahawa kehilangan tersebut mempunyai kaitan dengan penculikan.
Untuk rekod, kes kehilangan Qaseh merupakan satu di antara beberapa kes kanak-kanak hilang yang langsung tidak ditemui di Malaysia.
Kes lain yang terkenal dan pernah menjadi perhatian di dalam negara ialah kejadian kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, Muhammad Zahiruddin Putra dan Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bagi tempoh Januari hingga November 2023, sebanyak 710 kes kanak-kanak hilang dilaporkan berlaku membabitkan mereka berumur di bawah umur 18 tahun.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah 76 daripadanya masih belum ditemui semula setakat Disember tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram