Lelaki disyaki 'perisik' Israel didakwa Jumaat ini


  • 112
  • Isnin, 08 Apr 2024

Pada 27 Mac, Avitan ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang bersama dengan enam pistol dan 200 peluru.

LELAKI warga Israel yang ditahan bersama enam pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu, bakal dituduh di mahkamah pada Jumaat ini.

Media tempatan melaporkan perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut beliau, pertuduhan terhadap Shalom Avitan itu dilakukan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Terdahulu, pasangan suami isteri yang didakwa menjual senjata api kepada warga Israel itu meminta untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor pada Isnin.

Azim Mohd Yasin, 43, dan isterinya Syarifah Faraha Syed Husin, 41 mengaku tidak bersalah ketika didakwa di bawah Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) 1971 di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Sharifah Hascindie Syed Omar.

Dalam perbicaraan tersebut, Syarifah dituduh memiliki CZ75 P-01 CAL.9 Luger secara tidak sah manakala suami dituduh menyedari pemilikan senjata haram itu oleh isterinya kerana berada bersamanya.

BACA LAGI: MP PKR tawar diri jadi peguam Akmal Saleh

2634220

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

BACA LAGI: Warga emas ada sejarah penyakit jantung dikhuatiri hilang lepas keluar rumah di Kuala Terengganu

Pasangan itu ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor kira-kira jam 7.15 malam Jumaat (29 Mac).

Dalam penahanan tersebut, suspek membawa polis ke rumah mereka di Kuala Selangor yang kemudiannya menyaksikan polis merampas satu lagi pistol yang disimpan dalam beg sandang.

Sebelum ini, Razarudin berkata, kertas siasatan ke atas pasangan itu dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) 1971.

“Kes itu pada mulanya disiasat mengikut Akta Pasport 1966 apabila Avitan ditahan tetapi siasatan kami mendedahkan kesalahan yang lebih serius.

“Dia dan pasangan suami isteri berusia awal 40-an disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) 1971,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pada 2 April lalu.

Shalom sebelum itu ditahan bersama enam pistol dan 200 butir peluru ketika pada 27 Mac lalu oleh pasukan dari Bukit Aman dan Kuala Lumpur CID di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram