[VIDEO] Pemandu selisih maut, van kena hempap kren terjatuh di Sengkang lepas turunkan murid sekolah


  • Benua
  • Rabu, 10 Apr 2024

Van berkenaan mengalami remuk dan musnah sepenuhnya akibat ditimpa jentera berat tersebut. — Agensi

SEORANG pemandu berselisih maut selepas van sekolah dipandunya dihempap kren yang secara tiba-tiba tumbang di atas jalan dalam kejadian berdekatan sebuah tapak pembinaan di Sengkang, Singapura, pada Selasa.

Lelaki berkenaan terselamat selepas dia berjaya keluar daripada kenderaannya betul-betul di saat sebelum jentera itu jatuh menimpa van tersebut.

Seorang saksi yang juga jurutera teknologi maklumat, Anant Pradhan, 47, berkata, kren itu tumbang ketika ia sedang dalam proses untuk dinaikkan ke atas sebuah trak.

"Ketika mereka menaikkan kren itu, pemandu van terbabit pasti melihat kren itu bergerak dan tumbang, jadi dia melompat keluar dari van dan pergi ke seberang jalan.

"Dia sangat bertuah kerana dia tidak cedera," katanya kepada media tempatan.

BACA LAGI: Logo tapak kasut Vern's tidak menyerupai kalimah ALLAH dalam seni khat — Pakar

2636825

Keadaan van sekolah berkenaan selepas ditimpa 'boom' kren tersebut yang tumbang pada Selasa. — Agensi

Dalam foto dikongsikan orang awam kepada, kren yang tumbang itu dilihat jatuh di tepi van tersebut dengan bahagian 'boom' jentera terbabit melintang di tengah jalan dan menimpa van putih berkenaan.

Van berkenaan mengalami remuk dan musnah sepenuhnya akibat ditimpa jentera berat tersebut.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada pukul 4.55 petang Selasa.

Ujar kenyataan itu, seorang mangsa dibawa ke Hospital Besar Sengkang untuk menerima rawatan.

Sementara itu, seorang pemandu kereta yang berada di belakang van terbabit ketika kemalangan itu berlaku berkata, kenderaan penumpang itu digunakan untuk membawa murid ke sekolah.

BACA LAGI: Lelaki disyaki 'perisik' Israel didakwa Jumaat ini

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Mamz berkata, pemandu van terbabit yang berusia 28 tahun baru sahaja menurunkan seorang murid sekolah sebelum kemalangan.

“Ketika kejadian, van itu sedang berhenti di lampu merah...Pada ketika itu, dia (pemandu van) melihat kren itu tumbang, dan dia dapat keluar segera dalam beberapa saat. Saya berada kira-kira dua buah kereta di belakangnya ketika insiden berlaku.

"Semua orang segera keluar dari kereta masing-masing,” ujarnya.

Mamz menambah, dia mengenali pemandu itu dan mereka berdua bekerja sendiri.

Ujarnya, akibat insiden berkenaan, pemandu terbabit memberitahunya bahawa bahu dan belakang kepalanya mengalami kesakitan agak teruk.

Susulan daripada itu, pihak berkuasa Singapura menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang merupakan operator kren berkenaan kerana kesalahan melakukan kecuaian.

Pada masa sama, papan tanda di tapak pembinaan terbabit menunjukkan ia merupakan projek di bawah agensi air negara PUB, yang dikendalikan firma pembinaan, Building Construction Co.

Jurucakap PUB berkata, sebuah pembetung awam sedang dibina di lokasi kemalangan.

Beliau menambah, kontraktor Building Construction Co memberikan kerjasama terhadap siasatan dilakukan polis dan Kementerian Tenaga Manusia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram