[VIDEO] Ditegur berwajah aneh, pekerja swasta berdepan hukuman penjara lepas ludah, tampar wanita


  • Benua
  • Isnin, 08 Apr 2024

Tangkap layar video tular memaparkan wanita itu diludah dan ditampar oleh lelaki berkenaan dalam kejadian pada Jumaat.

GARA-gara berang terdengar dikata memiliki wajah aneh, seorang lelaki di Indonesia bertindak di luar dugaan apabila bertindak meludah dan menampar berkali-kali muka seorang wanita dalam kejadian di sebuah restoran makanan terkenal KFC di Kota Kendari, Sulawesi Tenggara, Indonesia pada Jumaat.

Kejadian tersebut turut dirakam oleh mangsa berusia 27 tahun yang ketika itu sedang membuat rakaman video.

Menerusi klip tersebut, wanita tersebut pada awalnya sedang merakam beberapa video memaparkan wajahnya sambil ditemani oleh rakannya yang duduk di depan.

Pada masa sama, suspek yang berusia 28 tahun dilihat berada di meja belakang mangsa bersama seorang wanita lain dipercayai temannya.

BACA LAGI: VIDEO] Kutuk berwajah 'alien', wanita rupanya diludah, ditampar bekas teman lelaki

BACA LAGI: Warga emas ada sejarah penyakit jantung dikhuatiri hilang lepas keluar rumah di Kuala Terengganu

Semasa membuat rakaman berkenaan, mangsa kemudiannya terlihat wajah lelaki tersebut yang turut masuk ke dalam video sedang dirakam.

Wanita terbabit seterusnya difahamkan secara spontan menyebut perkataan 'aneh' dipercayai merujuk kepada rupa lelaki berkenaan.

Tidak lama kemudian, suspek tampil datang ke arah mangsa selepas terdengar ungkapan dikeluarkan wanita itu.

Berdasarkan klip berkenaan, lelaki itu dilihat meludah dan menampar tepat ke arah muka mangsa beberapa kali.

Susulan daripada kejadian itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Pihak berkuasa kemudiannya segera menahan suspek yang merupakan pekerja swasta pada Ahad atas kesalahan melakukan penganiayaan terhadap individu lain.

Jika didapati bersalah, lelaki itu boleh menerima hukuman penjara sehingga dua tahun lapan bulan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram