SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah merakam keterangan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri berhubung kontroversi yang timbul ekoran daripada rakaman video lagu rayanya yang tular baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, MCMC memaklumkan proses merakam keterangan itu diadakan di ibu pejabat suruhanjaya tersebut di Putrajaya pada Rabu dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MCMC memaklumkan pegawai penyiasat turut menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon pintar yang digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.
"Rakaman percakapan ini susulan aduan diterima MCMC berhubung kandungan video teaser Hari Raya dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan. Setelah kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain," menurut kenyataan itu lagi.
BACA LAGI: Subsidi bersasar perlu, pastikan hanya kumpulan layak dapat manfaat — PM Anwar
MCMC memaklumkan proses merakam keterangan itu diadakan di ibu pejabat suruhanjaya tersebut di Putrajaya pada Rabu. — MCMC
MCMC memaklumkan, jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Alif menerima kecaman warga maya selepas memuat naik sedutan lagu raya terbaru yang bertajuk 'Love Raya' di laman Instagram peribadinya sejak Ahad.
Video berkenaan memaparkan penampilannya bersama beberapa penari yang mengenakan kostum ketat dan pelik.
Malah mereka juga bertindak membuat tarian aneh sehingga dilihat mencemarkan bulan Ramadan yang mulia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram