Lebih 40 repot polis terhadap Dd Chronicle, influencer lain patut ambil iktibar tak semua boleh jadi bahan lawak


  • Massa
  • Ahad, 18 Feb 2024

Dd Chronicle yang memuat naik video permohonan maaf selepas tularnya video parodi didakwa mempersendakan hukuman syariah.

SEBANYAK lebih 40 laporan polis dilaporkan dibuat di seluruh negara susulan kes pempengaruh memuat naik video parodi mempersendakan agama Islam pada 13 Februari lepas.

Pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Dd Chronicle itu juga didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah yang dikemukakan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman sebelum ini.

BACA LAGI : 'Jelas mempersendakan agama', polis, MCMC digesa ambil tindakan pempengaruh buat parodi salah fakta

2542141

Tangkap layar video parodi yang tular sejak 13 Februari lalu.

Dalam kes parodi itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, kesemua laporan polis yang diterima adalah sehingga Sabtu.

"Kami menjangkakan jumlah laporan polis berhubung perkara itu akan bertambah," katanya pada Ahad.

Melihat kepada perkara itu, rata-rata netizen menggesa agar pempengaruh media sosial lain mengambil iktibar dan tidak melakukan tindakan yang sama.

BACA LAGI : Buat parodi persenda agama aibkan diri sendiri dan umat Islam

msg1050426791-25715

Komen yang dimuat naik Daniel Akmal berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, pengguna Facebook Daniel Akmal berkata, tidak semua isu boleh dijadikan sebagai bahan gurauan di media sosial.

"Tak semua perkara kita boleh buat jadi bahan gurauan, sebab itu lah dulu dalam Maharaja Lawak (program hiburan televisyen) ada juri yang mengatakan nak melawak jangan sampai menghina.

"Sebab ada perkara yang kita anggap biasa sebenarnya, ia adalah perkara yang bila kita lakukan akan ada kesan.

"Jadi, gunalah otak sebelum buat sesuatu. Bila kita buat sesuatu yang disukai ramai, orang-orang akan bersorak tapi, bila kena tindakan tinggallah kita seorang-seorang," tulisnya.

Terdahulu, Dd Chronicle atau nama sebenar Dediy Sulaeman Ra’e, 43, mendapat kecaman hebat daripada warga maya kerana tindakannya yang seolah-olah boleh mendatangkan fitnah dan kekeliruan ramai.

Dalam video tersebut juga, Dd ada menyentuh elemen yang dilihat seakan menghina mahkamah dengan menyatakan perbuatan minum arak dan berjudi dibolehkan malah tidak akan dikenakan hukuman.

Dd juga kemudiannya memuat naik video permohonan maaf secara terbuka di seluruh media sosialnya berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram