Kempen Tolak Gula PERKESO 'soft policy' ubah gaya hidup pengambilan gula rakyat Malaysia — Pakar


  • Massa
  • Isnin, 25 Mac 2024

Norhasmah yakin budaya gaya hidup masyarakat Malaysia khususnya dalam pengambilan gula boleh diubah. — Gambar hiasan

PADA 14 Mac lalu, media melaporkan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membelanjakan sejumlah kira-kira RM300 juta bagi menampung program dialisis bagi pencarumnya yang menghidap masalah diabetes.

Tidak cukup dengan itu, peratusan individu yang menghidap penyakit diabetik kini juga merekodkan peningkatan.

Menerusi program saringan kesihatan yang dilaksanakan PERKESO, peratusan mereka yang menghidap penyakit tersebut didapati meningkat sehingga 19.9 peratus iaitu hampir 20 peratus.

Tahap tersebut disifatkan jauh lebih tinggi berbanding sembilan peratus ketika program tersebut mula dilaksanakan.

Bagi menangani situasi membimbangkan itu, PERKESO kemudiannya melancarkan Kempen Tolak Gula sejak 11 Mac lalu.

Ternyata kempen itu mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat yang kini sedar tentang kepentingan untuk mengurangkan kadar pengambilan gula.

Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norhasmah Sulaiman berkata, trend masalah kesihatan dihadapi rakyat Malaysia akibat pengambilan gula berlebihan itu sememangnya merupakan sesuatu membimbangkan.

Kegusaran itu diburukkan lagi dengan melihat kepada jumlah rakyat Malaysia yang menghidap diabetes.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, 2019 (NHMS 2019), satu daripada 5 orang penduduk dewasa di Malaysia mengalami diabetes.

BACA LAGI: Runsing tak tahu cara kawal pengambilan gula, ini 5 aplikasi boleh bantu anda

3_Norhasmah2

Ketua Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Profesor Dr Norhasmah Sulaiman.

Dengan itu, dianggarkan seramai 3.9 juta orang dewasa berumur 18 tahun ke atas mengalami diabetes.

"Penyakit diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi merupakan penyakit tidak berjangkit.

"Kadar kandungan gula, tekanan darah dan kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular yang merupakan penyebab kematian utama di Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai Kempen Tolak Gula PERKESO, Norhasmah berpandangan ia merupakan satu usaha sangat baik dalam meningkatkan kesedaran orang awam untuk mengurangkan pengambilan gula dalam minuman dan makanan seharian.

Katanya, langkah tersebut juga dilihat sebagai satu usaha pencegahan awal terhadap penyakit diabetes.

"Memberikan kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya pengambilan gula yang berlebihan dalam minuman dan makanan melalui pelbagai aktiviti seperti kempen, ceramah atau forum merupakan satu pendekatan pencegahan primer bagi mencegah penyakit diabetes.

"Kaedah begini dikenali sebagai kaedah soft policy," ujarnya.

Selain itu, Norhasmah berpendapat, kerajaan juga boleh menggunakan kaedah hard policy dalam menangani isu berkenaan.

Ia antara lain melalui langkah mengenakan cukai ke atas minuman manis bergula yang mengandungi kandungan gula melebihi had ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia

Untuk rekod, cukai terhadap beberapa jenis minuman manis bergula sudah mula diperkenalkan di Malaysia pada Julai 2019.

Tak mustahil rakyat ubah gaya hidup pengambilan gula

Dengan menggabungkan kedua-dua pendekatan dasar tersebut, Norhasmah yakin budaya gaya hidup masyarakat Malaysia khususnya dalam pengambilan gula boleh diubah.

Bagaimanapun, beliau berpandangan proses perubahan itu memerlukan masa dan usaha agresif secara berterusan.

Ini kerana terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani untuk mencapai matlamat berkenaan.

Di pihak pengguna di samping kesedaran mengenai bahaya pengambilan gula, mereka juga perlu dibekalkan dengan pengetahuan mengenai pemakanan sihat.

"Khususnya dalam mengenal pasti saiz sajian untuk gula dalam minuman sehari.

"Pengetahuan ini dapat membantu pengguna menyediakan minuman yang mengandungi kandungan gula sehari yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Pengetahuan ini akan membantu membentuk amalan atau tingkah laku yang lebih baik bagi pengambilan gula," ujarnya.

BACA LAGI: Pusat rehab PERKESO bertaraf dunia, ini apa yang anda perlu tahu tentang PRPTAR

Coffee shop preparing sugar for customer to self service at Church street in George Town, Penang. ( October 20, 2023). — CHAN BOON KAI/The Star

Norhasmah berpandangan bahawa penyedia makanan dan minuman di restoran juga seharusnya memikul tanggungjawab dalam membentuk pengambilan gula rakyat Malaysia. — Gambar hiasan

Sementara itu, Norhasmah berkata penyedia makanan dan minuman di restoran juga bertanggungjawab dalam menyokong usaha ini.

Pada waktu ini, beliau berkata, restoran dan kedai makan di dalam negara masih tidak memiliki piawaian standard untuk menyediakan minuman manis yang dijual kepada pelanggan.

"Barista akan menyediakan minuman manis bergula berdasarkan kepada pengalaman bertahun atau mengikut selera pengguna semasa menyediakan minuman tanpa mengambil kira kesan kesihatan jangka masa panjang," katanya.

Mengulas lanjut, Norhasmah berkata, tidak boleh dilupakan juga adalah peranan yang boleh dimainkan oleh pihak industri atau lebih spesifiknya pengeluar minuman di dalam negara.

Menurut beliau, industri sepatutnya perlu bertanggungjawab menghasilkan produk minuman baru dengan kandungan ditetapkan bagi mendapat logo Healthier Choice Logo (HCL) daripada KKM.

"Kewujudan logo ini dapat membantu pengguna melakukan pilihan bijak dan membuat perbandingan semasa pembelian," ujarnya.

Menurut Norhasmah, industri juga perlu bertanggungjawab untuk memformulasikan semua produk yang disediakan supaya ia mengikut kandungan gula ditetapkan HCL.

Dengan bertambahnya produk minuman bergula HCL di pasaran, ia akan membantu membentuk tingkah laku pengguna untuk membeli minuman manis bergula yang dihadkan kandungan gulanya.

Dalam pada itu, orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram