
DUA penunggang terpaksa menahan sakit kerana terjatuh selepas motosikal yang ditunggang mereka tergelincir akibat tumpahan minyak dalam kejadian di susur Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada Rabu.
Insiden itu dikongsikan salah seorang mangsa menerusi satu hantaran di Facebook dengan nama akaun Wira Mwj pada Khamis.
Kejadian pada pukul 4.30 petang tersebut berlaku sewaktu dirinya dalam perjalanan dari rumah menuju ke pejabatnya.
"Dalam cuaca panas kering, tiba-tiba motor hilang kawalan dan jatuh, terus aku bangun lari ke tepi untuk mengelak dilanggar kereta dari (arah) belakang.
"Tidak lama kemudian, satu lagi motor jatuh di tempat yang sama, aku pun tolong abang itu dan dia tolong angkat motor aku.
"Aku lihat terdapat tompokan minyak yang banyak di tengah jalan dan aku terus berdiri di atas tompokan minyak tersebut," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Beri sedekah al-Quran bukan lakonan — Sunny
Melihat jalan raya berada dalam keadaan tidak selamat ketika itu, lelaki tersebut mengambil inisiatif untuk membantu mengawal lalu lintas.
Dia juga bertindak berdiri di atas tompokan minyak hitam berkenaan sebelum menghubungi AKLEH dan pihak berkuasa.
"Aku lihat terdapat tompokan minyak yang banyak di tengah jalan dan aku terus berdiri di atasnya dan mengawal trafik dalam masa sama mengelakkan motosikal lain jatuh di kawasan sama," katanya.
Mangsa turut dimaklumkan, semasa rondaan, pihak AKLEH mendapati terdapat sebuah teksi bertindak menukar minyak hitam di laluan itu sebelum kejadian berlaku.
Pemadu teksi berkenaan dipercayai menetap di sebuah rumah bersebelahan susur jalan kaki dari jambatan ke Transit Aliran Ringan (LRT) Dang Wangi.
"Peronda AKLEH sudah menegur pemandu terbabit, namun pemandu teksi ini selalu parkir kenderaannya di tempat itu pada waktu malam dan pagi walaupun banyak kali ditegur pihak AKLEH," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram