Program Parallel Pathway boleh lahirkan ramai pakar, KKM cadang pinda Akta 50


  • Primer
  • Rabu, 03 Apr 2024

Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dicadangkan agar disegerakan bagi melahirkan lebih ramai pakar di Malaysia. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan kepada Jemaah Menteri agar menyegerakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) susulan pelaksanaan program Parallel Pathway bagi membolehkan pelatih yang berjaya menyelesaikan program itu, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan di Malaysia.

"Dengan ini, tertakluk kepada keputusan lanjut Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan Akta 50, KKM akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 Jun ini, bagi penguatkuasaan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI : Lebih 26 tahun berjasa kepada KKM, Dr Rafidah desak jangan sekat saluran status doktor pakar

2589713

Dzulkefly menyifatkan bahawa program tersebut adalah penting bagi pelatih perubatan.

BACA LAGI : 'Doktor masih pro, mogok cara buka mata kerajaan bukan nak mengganas atau merusuh'

Dzulkefly berkata, KKM berharap semua pihak memberikan kerjasama penuh demi kepentingan seluruh pihak berkepentingan, terutama pelatih program Parallel Pathway kerana rakyat bergantung kepada perkhidmatan mereka.

"KKM memberi jaminan terhadap kecekapan dan keberkesanan penyampaian sektor kesihatan awam kepada masyarakat dapat terus ditingkatkan di bawah gagasan Malaysia Madani.

"Sementara menunggu keputusan Jemaah Menteri mengenai akta itu, KKM akan memperkasa latihan kepakaran melalui program sarjana di negara ini supaya program pembangunan kapasiti tempatan semakin unggul," tambahnya.

Katanya lagi, persetujuan bersama dicapai dalam satu perbincangan dengan Duta Besar Ireland ke Malaysia, Orla Tunney dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, David Wallace supaya kerjasama yang sedia terjalin antara KKM serta institusi terbabit diteruskan dan diperkukuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram