Rawat TNBC guna kaedah bersesuaian, harapan baharu lawan kanser payudara agresif


  • Sihat
  • Isnin, 25 Mac 2024

Dari kanan: Dr Jennifer, Presiden BCWA, Kim Lim, Pengarah Urusan Merck Sharp & Dohme (MSD) Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Abdullahi Sheriff dan Dr Saunthari Somasundaram.

KANSER payudara merupakan barah utama yang banyak dihidapi dalam kalangan para wanita di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ia merupakan pembunuh nombor satu daripada keseluruhan kes penyakit kanser wanita di negara ini.

Sekiranya tidak dikesan di peringkat awal, sel-sel kanser boleh merebak ke bahagian organ lain sehingga menyebabkan kematian.

Meskipun begitu, masih ramai golongan wanita khususnya di bawah umur 40 tahun TNBC yang belum peka mengenai kanser payudara ini.

Menyedari akan hal itu, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) berganding bahu bersama MSD Malaysia untuk menjalankan Kempen I Can, We Will dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara.

BACA LAGI: Irfan Harris rindu puasa PKP, gembira masih dapat jadi imam solat tarawih bersama keluarga

Kolaborasi itu memilih untuk memberi fokus kepada triple-negatif breast cancer (TNBC) dengan matlamat untuk meningkatkan pengetahuan dalam usaha menentang subjenis kanser payudara agresif itu.

Ini kerana, berbanding dengan kanser payudara lain, TNBC merupakan sejenis kanser yang agresif kerana boleh berkembang dengan cepat.

TNBC juga menyebabkan pesakit lebih cenderung untuk mengalami masalah yang sama meskipun selepas menerima rawatan.

Pakar Perunding Klinikal Onkologi, Dr Jennifer Leong berkata, kanser payudara TNBC tidak mempunyai mana-mana reseptor yang biasanya terdapat dalam tisu payudara dan sel kanser payudara.

"Ini termasuk reseptor estrogen (ER) dan progesteron (PR), dan protein yang dikenali sebagai HER2 (reseptor faktor pertumbuhan epidermal manusia 2)," katanya.

BACA LAGI: 'Jangan sebab tengok kisah orang, kita jadi keras hati', Diana Danielle ulas isu bahagi 2 belanja rumah tangga

Rawatan tertentu seperti terapi hormon atau terapi sasaran HER2 juga tidak sesuai untuk pesakit TNBC memandangkan mereka kekurangan reseptor ER/PR dan protein HER2.

Ini menjadikan TNBC lebih mencabar untuk dirawat kerana pesakit tidak memberi respons kepada beberapa jenis rawatan.

Meskipun demikian, Dr Jennifer berkata, dengan adanya imunoterapi mampu memberi pesakit harapan baharu untuk sembuh.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, adanya terapi baharu inovatif seperti imunoterapi yang memberi lebih banyak pilihan rawatan untuk pesakit TNBC menentang penyakit ini," katanya.

Tambah Dr Jennifer, selain rawatan TNBC, sokongan yang mencukupi kepada pesakit secara holistik juga penting untuk kesejahteraan dan pemulihan mereka.

Dalam pada itu, Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram berkata, adalah penting untuk meningkatkan usaha memberi maklumat tepat kepada orang ramai mengenai TNBC agar pengesanan awal dan rawatan sesuai dapat diberikan dengan tepat pada masanya.

"Walaupun kanser payudara sering menjadi topik perbualan, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa terdapat pelbagai jenis kanser payudara, masing-masing dengan ciri-ciri unik tersendiri.

"Jadi penting untuk pesakit mendapatkan rawatan yang tepat agar mereka dapat menikmati kelangsungan hidup lebih tinggi dan kualiti hidup lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram