KEMELUT rumah tangga antara pengarah filem, Syamsul Yusof dengan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin akhirnya menemui penamat apabila Syamsul menceraikan Puteri Sarah dengan talak satu ketika prosiding di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berkata, penceraian tersebut dibuat untuk kali kedua ketika prosiding status pengesahan cerai di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas.
Bagaimanapun selepas lafaz cerai tersebut diucapkan, pelakon Andai Itu Takdirnya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi atau emosi ketara ketika itu.
"Saya ceraikan Puteri Sarah dengan talak satu," katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Rendah Syariah di ibu negara pada Rabu.
Sebelum ini, Syamsul memfailkan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac manakala Puteri Sarah memasukkan pernyataan pembelaan selepas tuntutan diterima pada 24 Mac.
Hakim kemudian meminta Puteri Sarah mengemukakan pembelaan terhadap dakwaan Syamsul pada 6 April.
Puteri Sarah dilaporkan memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram