PERTEMUAN Malaysia bertemu Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bukanlah pertemuan pertama kedua-dua negara di atas padang bola sepak.
Sebelum pertemuan berganda yang akan diadakan pada 22 dan 26 Mac ini, Malaysia telah berdepan negara Timur tengah itu pada 2015 ketika skuad kebangsaan dikendalikan oleh Datuk Dollah Salleh.
Bertemu Oman bukanlah satu tugas mudah. Ketika itu, Dollah mengalami krisis dalam skuadnya apabila beberapa nama dalam kalangan pemain senior terpaksa disisihkan untuk aksi tersebut.
Pemain-pemain seperti Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Gary Steven Robbart, Azmi Muslim, Badhri Radzi, Azamuddin Akil dan Hafiz Kamal adalah lapan daripada sembilan pemain yang mewakili negara pada Piala AFF 2014 terlepas perlawanan tersebut.
Satu lagi nama adalah Shukor Adan yang merupakan ketua pasukan Malaysia ketika itu yang memilih untuk bersara daripada tugasan bola sepak antarabangsa.
BACA LAGI: Dapat peluang kedua bersama NSFC, import Selangor enggan terus jadi malap
Ramai pemain dari skuad Piala AFF 2014 disisihkan Dollah untuk aksi berdepan Oman. — Agensi
BACA LAGI: Terbang ke Johor kuatkan lagi spekulasi Police Tero jadi 'pusat transit' JDT
Keputusan Shukor itu memaksa Dollah untuk menamakan ketua pasukan baharu dan dia kemudiannya melantik semula Safiq Rahim untuk mengetui cabaran negara selepas menampilkan persembahan cemerlang bersama-sama Johor Darul Ta'zim (JDT) di peringkat kelab.
Keputusan Dollah untuk tidak memanggil beberapa nama senior ke dalam skuad ketika itu adalah kerana ingin memberikan laluan buat kudrat muda seperti Che Rashid Che Halim, S. Chanturu dan Akram Mahinan dapat diselitkan ke dalam skuad dalam lawatan ke Muscat, Oman.
"Para pemain seperti Safee, Mahali dan Fahmi digugurkan untuk membolehkan pemain-pemain lain menyertai skuad.
"Saya ingin lihat bagaimana para pemain muda beraksi dan menilai prestasi mereka di tahap antarbangsa," kata Dollah ketika itu.
Dollah sudah pastinya berasa sakit kepala ketika melakukan penilaian selepas perlawanan apabila Harimau Malaya teruk dibelasah Oman ketika itu. Sudahlah tewas, Malaysia memboloskan enam gol tanpa balas ketika berdepan Oman.
Tamat sudah cerita hampir 10 tahun sudah, Malaysia akan berdepan Oman sekali lagi tetapi dalam pentas yang lebih penting berbanding sebuah aksi persahabatan.
Dengan potensi layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, Harimau Malaya perlu tewaskan Oman bagi memastikan impian yang mustahil dapat direalisasikan selain daripada mengesahkan tempat di Piala Asia 2027 terjamin.
Berbekalkan skuad yang lebih baik berbanding 2015, Malaysia mempunyai peluang untuk merawat luka lama sekali gus terus mengaum kuat dalam kancah bola sepak Asia.
Dollah kini tidak mengendalikan skuad kebangsaan dan dia menjawat jawatan sebagai pengurus di Sri Pahang FC.
Sementara pemain-pemain seperti Safee, Fahmi, Badhri serta Mahali semuanya sudah bersara atau tidak lagi terlibat dengan skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram