[VIDEO] BSN DuitNow QR Soundbox bantu peniaga bazar Ramadan lihat keuntungan bersih harian


  • Bizz
  • Sabtu, 30 Mac 2024

Amir Hamzah (tengah) menyantuni peniaga di Bazar Ramadan TTDI dengan meluangkan masa kira-kira satu jam bagi beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung.

DALAM menyokong perniagaan digital, Bank Simpanan Nasional (BSN) memperkenalkan BSN DuitNow QR Soundbox iaitu terminal pembayaran digital yang menyelaraskan bayaran tanpa tunai bagi peniaga gerai bazar Ramadan.

Pengenalan produk itu dengan kerjasama Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) sejajar dengan rancangan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan untuk meningkatkan penyelesaian digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pada masa sama, kaedah pembayaran menggunakan kod QR di bazar Ramadan itu juga turut membantu memudahkan dan mempercepatkan urusan peniaga serta pembeli.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penggunaan kod itu boleh dilihat di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur dengan kod QR dibekalkan oleh pihak BSN.

"Contohnya di Bazar TTDI terdapat 82 peniaga menggunakan kod QR bagi transaksi pembayaran yang terus masuk ke akaun bank peniaga.

"Mudah sebab duit ini akan terus masuk ke dalam bank peniaga sekali gus membantu mereka melihat sendiri pendapatan jualan setiap hari.

"Pada masa sama, peniaga juga dapat melihat keuntungan bersih tanpa perlu mengira jumlah jualan yang mereka dapat," katanya pada sidang media selepas melawat Bazar Ramadan TTDI pada Sabtu.

BACA LAGI: ASB 2 agih pendapatan 5.25 sen seunit, ASM 4.75 sen

BACA LAGI: Persediaan raya hambar, rakyat Malaysia lebih suka beli 'online' dan 'last minute'

Tambahnya lagi, kaedah itu juga memudahkan peniaga dan pembeli yang mana peniaga tidak perlu menyediakan wang kecil untuk memulangkan baki.

"Selain itu, peniaga juga boleh merujuk pembayaran kod QR itu sebagai laporan kewangan kerana segala pembayaran akan dicatatkan.

"Ia juga boleh dijadikan laporan yang digunakan oleh peniaga untuk membuat pinjaman kepada pihak bank.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil Jeremy berkata, sambutan terhadap peranti tersebut amat memberangsangkan dan berharap lebih ramai peniaga akan menerima kaedah pembayaran digital Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox yang baharu ini.

Tambah beliau lagi, peranti itu turut menawarkan penyelesaian pembayaran yang fleksible bagi peniaga sekali gus membolehkan pelanggan mengimbas kod QR dengan mudah atau menggunakan kad bagi pembayaran tanpa masalah.

"Peranti itu turut dilengkapi dengan sound box yang berfungsi sebagai penggera bagi memaklumkan kepada para peniaga bahawa pembayaran telah berjaya dibuat dan dikreditkan kedalam akaun mereka.

"Setiap kali ada transaksi yang berjaya dia akan terus beritahu, ada sound akan keluar.

Kalau RM8 di terima contohnya ataupun RM10 diterima," jelas beliau.

Menerusi lawatan itu, Amir Hamzah menyantuni peniaga di Bazar Ramadan TTDI dengan meluangkan masa kira-kira satu jam bagi beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung.

Beliau turut menyampaikan agihan 500 juadah berbuka puasa yang disediakan oleh BSN Care menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya.

Antara penerima juadah berbuka puasa itu adalah Balai Polis TTDI, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI, Masjid At-Taqwa TTDI serta pengunjung bazar berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram