INDIVIDU dipercayai pemilik bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditinggalkan di sebuah pusat beli-belah Damansara, Petaling Jaya Selangor, baru-baru ini tampil memberi keterangan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaa'far @ Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Ya, dia memberi keterangan semalam (Sabtu) pada pukul 4.30 petang. Bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diambil termasuk penyata tambahan dan bukti (pemilikan)," katanya.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini berkata, sebuah syarikat sudah tampil untuk menuntut bagasi itu dan laporan telah dibuat di Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun, pengarah syarikat terbabit gagal hadir ke balai polis Damansara.
BACA LAGI: 'Perisik' Israel tinggal di hotel 5 bintang, sempat beli-belah di butik mewah
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai yang terdapat dalam bagasi ditinggalkan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara 20 Mac lalu.
Pada 20 Mac lalu, beg pakaian yang berisi wang tunai itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di tempat letak kereta pusat beli-belah di Damansara.
Sementara itu, Hussein ketika dihubungi berkata, individu disyaki pemilik wang tersebut mendakwa dia tidak menyedari beg pakaian itu tidak dimasukkan ke dalam kenderaannya.
Menurut individu berkenaan, wang terbabit pada asalnya diterima daripada seorang rakan yang membayar balik pinjaman dibuat beberapa tahun lalu untuk tujuan pelaburan.
Katanya, individu itu juga pada mulanya percaya dirinya telah memasukkan dua beg ke dalam keretanya sebelum pulang ke rumah.
“Namun pada keesokan harinya apabila dia ingin mendapatkannya dia menyedari sebuah beg telah hilang,” ujar Hussein.
Hussein bagaimanapun berkata, polis memerlukan pelbagai lagi kenyataan berhubung insiden tersebut termasuk cara bagaimana individu terbabit memperoleh wang tunai berkenaan pada awalnya. — The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram