Potong dulu baru timbang, peniaga ayam di Changloon cari keberkatan dalam bisnes


  • Tular
  • Isnin, 26 Feb 2024

Yusof menjalankan perniagaan menjual ayam segar di Ladang Rakyat, Changloon di Kedah sejak 34 tahun lalu. — Facebook/Kedah Kini

SUDAH menjadi amalan setiap kali membeli ayam segar, peniaga pasti akan menimbang dahulu ayam tersebut sebelum memotongnya sesuai permintaan pelanggan.

Namun lain pula ceritanya buat Yusof Ibrahim, 72, peniaga ayam segar yang menjalankan operasi di Ladang Rakyat, Changloon, Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah.

Difahamkan, sejak 34 tahun lalu, dia sememangnya tidak akan menimbang bahagian kepala, kaki, hati dan pedal kecuali diminta sendiri oleh pelanggan.

Perkara itu turut dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook Kedah Terkini pada Ahad.

"Seorang peniaga ayam di Changloon amalkan cara jual ayam potong dahulu, kemudian baru timbang. Pelanggan bayar apa yang ditimbang.

"Bila tanya pakcik tersebut, jawapannya sangat mengharukan dan akan buat kita hormat kepadanya.

"Katanya dia inginkan keberkatan dalam keuntungan berniaga," tulis hantaran itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Konsert Ed Sheeran elok je', ramai kompelin konsert malam Nisfu Syaaban di Kedah dibatalkan saat akhir sebab tiada permit

Biasanya peniaga akan menimbang ayam terlebih dahulu sebelum dipotong. Gambar hiasan

BACA LAGI: Simpan resit, dokumen di Google Drive mudahkan pembayar buat e-Filing LHDN

Berbekalkan niat untuk mencari keberkatan dalam perniagaan, keuntungan bagi Yusof bukanlah menjadi keutamaannya.

Sebab itu dia cuma menjual bahagian yang boleh dimakan sahaja.

"Kepala, isi dalam perut ayam dan bahan-bahan yang belum dicerna orang tak ambil dan makan.

"Maka yang benar-benar terjual kepada pembeli adalah bahagian yang boleh dimakan manusia. Itu yang ditimbang,” jelasnya.

Melihat kemurahan hati peniaga berkenaan, ramai yang mendoakan agar dia terus dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan dalam hidupnya.

"Dia mungkin tak kaya macam peniaga ayam di Kuala Lumpur tapi dia kaya dengan kejujuran.

"Harap menjadi contoh kepada peniaga lain, bukan sahaja ayam malah durian, ikan dan macam-macam lagi," kata pengguna media sosial itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram