SEBANYAK empat buah syarikat terkemuka di China dikatakan menunjukkan minat begitu tinggi bagi melabur di Kedah baru-baru ini.
Ia disahkan oleh Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Haim Hilman Abdullah dalam hantarannya di Facebook pada Khamis.
Haim Hilman berkata, itu merupakan antara usaha dalam mempromosikan negeri tersebut ke peringkat global sekali gus menaikkan lagi imej Kedah.
BACA LAGI : Faktor kos, pulangan pelaburan buat ramai setuju kenyataan 'Gunung Everest' Sanusi
Pada masa sama, Haim Hilman turut berkongsi perkembangan perjalanan misi pelaburan yang diketuainya itu di China sebelum ini.
Ketika sesi rundingan yang dilakukan di China baru-baru ini. — Facebook
"Izinkan saya untuk kongsikan sedikit perkembangan perjalanan misi pelaburan yang saya ketuai untuk negeri kita di negara China ini. Hari ini adalah hari kedua kami dalam usaha mempromosi negeri kita Kedah.
"Syukur Alhamdulillah setakat hari ini, saya dan sahabat-sahabat telah mengadakan rundingan dengan empat buah syarikat terkemuka di China yang telah menunjukkan minat yang begitu tinggi untuk melabur di negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya," katanya.
Bukan sekadar itu, beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Shanghai yang turut sama dengan pasukannya dalam menjayakan misi tersebut.
"Saya percaya hasrat dan harapan kita untuk membawa masuk lebih ramai pelabur ke negeri Kedah akan tercapai, selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam aspek pengisian agenda The Greater Kedah yang kita dukungi bersama.
"Sahabat-sahabat, mohon doakan semoga misi ini berjaya dan lebih banyak syarikat dari negara China berminat dan akhirnya melabur di negeri kita Kedah," tambahnya.
Sementara itu, rata-rata netizen memberikan reaksi positif serta menyokong misi yang dijalankan itu.
BACA LAGI : Cabaran bisnes 2024 bukanlah ekonomi, sebaliknya pekerja tidak berdisiplin
"Maju Kedah maju," tulis Mohd Sofiyuddin.
"Terima kasih, semoga dipermudahkan urusan segalanya," respons Abdullah Dani.
Malah, ada juga yang memberikan cadangan untuk menambah baik lokasi perindustrian di Kedah.
"Tak cukup Kulim Hi-Tech. Kedah kena buka tempat perindustrian baharu, pastikan hasil dan cukai dapat pada kerajaan negeri, baru dapat naikkan hasil," komen Mirza Rx. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram