USAHAWAN muda, Nor Fazliana Mohd Sazali kini menjadi inspirasi ramai khususnya wanita bisnes membuat keluaran coklat buatan tangan yang beroperasi di Bagan Datuk, Perak semakin mendapat perhatian ramai.
Nor Fazliana yang berumur 28 tahun kini terkenal sebagai salah seorang pemilik perniagaan Coklat Sri Ayu yang lebih dikenali dengan nama Coklat Ori Bagan Datuk.
Beroperasi bersama keluarga, Fazliana cekal meneruskan usaha bapa saudaranya, Norhazizi Muhammad Alimuddin untuk memajukan perniagaan coklat yang bertapak selama 24 tahun di kawasan berkenaan.
Memilih membawa kelainan daripada coklat yang lain, Coklat Sri Ayu merupakan coklat jenis buatan tangan tanpa menggunakan sebarang kaedah mesin.
"Kalau guna mesin, bentuk coklat akan sama sahaja, jadi kalau buatan tangan kita boleh buat sendiri bentuk yang dimahukan, mengikut citarasa yang difikirkan," katanya kepada Majoriti.
Nor Fazliana Mohd Sazali pemilik Coklat Sri Ayu meneruskan usaha bapa saudaranya, Norhazizi Muhammad Alimuddin dalam perniagaan itu.
Kreatif dalam mencipta nama, Nor Fazliana berkata, dia sentiasa mencari idea untuk menambah nilai produk coklat buatan tangan pertama di Bagan Datuk itu agar memenuhi cita rasa pengguna.
"Biasa kita dengar orang dah biasa makan pisang salai, jadi kami tambah pisang salai bersalut coklat, biskut kelapa bersalut coklat dan lain-lain lagi.
"Kami sesuaikan coklat dengan menu yang lain agar pembeli tertarik," katanya.
Antara jenis produk yang dikeluarkan oleh Coklat Sri Ayu.
Terdapat pelbagai jenis coklat yang dikeluarkan seperti coklat susu badam, coklat bertih beras, coklat putih oreo, coklat putih badam, pisang salai bersalut coklat, biskut kelapa bersalut coklat dan lain-lain.
Setiap kejayaan pasti miliki rintangan tersendiri, perniagaan itu pernah terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga tidak mampu memproses selama tiga tahun.
"Waktu itu ikutkan memang tiada pembeli, kami nak jual ke sekolah tidak boleh, nak pasarkan ke tempat lain pun susah jadi kami hanya mampu bertahan kerana ada tabungan khas tersendiri yang kami peroleh hasil jualan sebelum PKP," katanya.
Tidak mudah mengalah, kini perniagaan itu mulai berkembang maju dan memasuki pasaran luar negeri seperti Pantai Timur.
"Sekarang kami ada ejen di luar negeri seperti Terengganu dan Kelantan jadi produk kami pun boleh didapati di negeri-negeri itu," katanya.
Bijak meneroka dunia digital, Nor Fazliana turut memilih untuk mengembangkan perniagaan coklatnya dengan menggunakan media sosial.
"Sekarang memang kami banyak guna media sosial, macam Facebook jadi bila orang nampak produk yang kami keluarkan dapat tersebar luaslah perniagaan ini," katanya.
Kini, banyak lawatan diterima daripada luar yang datang ke kedai berkenaan untuk melihat sendiri pemprosesan coklat buatan tangan tersebut.
"Antaranya, sebelum ini kita ada terima kunjungan daripada tadika muslim kecil, lawatan rasmi 30 orang pelajar antarabangsa Jepun daripada Universiti Kuala Lumpur dan banyak lagi lawatan-lawatan lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram