Nervous bawa Jalur Gemilang, Bryan sukar lupakan momen indah Olimpik Athens


  • Podium
  • Ahad, 24 Mac 2024

Bryan ketika diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang ketika  Olimpik Athens 2004. 

BRYAN Nickson Lomas.

Nama yang tidak asing lagi dalam sukan terjun tanah air apabila Olimpian kelahiran Kuching, Sarawak itu masih unggul memegang rekod sebagai atlet termuda negara layak secara merit ke temasya sukan Olimpik di usia 14 tahun.

Bryan, 34, yang sudah bersara daripada menjadi atlet profesional pada 2015 akui masih tidak dapat melupakan detik manisnya sepanjang mewakili negara terutama kenangan melakukan debut di Olimpik Athens, Greece 2004 dalam acara 10 meter (m) dan bahkan diberikan peluang sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk kontinjen Malaysia ketika itu.

Mengimbau kembali momen 20 tahun lalu berkenaan, Bryan yang memasuki bidang terjun seawal usia lapan tahun tersebut tidak pernah terfikir akan mendapat peluang seawal itu untuk melakukan penampilan pertama di pentas Olimpik.

Untuk pengetahuan, Bryan menyertai sukan terjun tanpa mempunyai asas berenang dan penglibatannya bermula apabila Majlis Sukan Sarawak tertarik melihat bentuk fizikal bekas graduan Universiti Malaya itu ketika mereka melakukan talent scouting di sekolah-sekolah.

CaptionDiver Bryan Nickson showing the gold medal that he won in the 3m springboard of the World Junior Championships in Belem Brazil last Saturday. Behind him is his coach Yang Zhuliang of China

Bryan ketika menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 3m papan anjal Kejohanan Remaja Dunia di Brazil pada 2004.

“Ketika saya bertanding di Sukma (Sukan Malaysia) Sabah pada 2002, coach kebangsaan nampak saya ada potensi. Jadi, pada umur 13 tahun, saya ke Bukit Jalil untuk belajar di sekolah sukan dan menjadi atlet di bawah MSN (Majlis Sukan Negara).

“Lepas itu, bermula perjalanan saya ke pertandingan Asia dan junior dan Olimpik masa umur 14 tahun. Masa ke Olimpik itu, saya kecil lagi jadi semua rasa benda sama sahaja. Kebetulan pula, saya dipilih sebagai pengangkat bendera untuk kontinjen Malaysia untuk Olimpik Athens.

“Memang nervous tapi overall pengalaman dan pendedahan sangat bagus. Saya pun sangat teruja dapat penghormatan bawa bendera,” katanya kepada Majoriti7.

Walaupun tidak mendapat sebarang pingat pada temasya empat tahun sekali itu namun Bryan dapat meningkatkan mutu terjunannya apabila merangkul pingat emas dalam Kejohanan Remaja Dunia di Brazil pada 2004 menerusi acara 10m platform.

Malaysian divers, Bryan Nickson Lomas in action during compete in men's 10m platform prelimanary round at Aquatics Centre yesterday.  AZMAN GHANI / The Star

Antara momen terjunan Bryan ketika mewakili Malaysia di kejohanan sukan dunia.

Selepas musim cemerlang pada 2004 itu, Bryan terus mengharumkan nama negara dengan memperoleh banyak pingat di Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan SEA, Kejohanan Terjun Siri Dunia Remaja Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina), Grand Prix Terjun Fina dan Piala Dunia Terjun FINA.

Dalam setiap bidang diceburi, pasti ada rintangan menanti. Begitu jugalah yang dihadapi Bryan apabila proses pembelajaran skil ataupun terjunan baharu merupakan antara cabaran perlu ditempuhinya sebagai atlet terjun profesional.

Pandangan kem terjun negara pada masa kini

Selepas menimba pengalaman sebagai jurulatih sambilan untuk pasukan negeri Selangor, menjadi tenaga pengajar bagi Kelab Terjun Kazma di Kuwait, Bryan kini bertugas sebagai Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS).

Dengan kapasitinya sebagai Pengarah Teknikal dan juga pernah mengharumkan nama negara pada suatu ketika dahulu, Bryan akui kem terjun negara kini mempunyai masalah kekurangan pelapis sama ada dari segi stok atlet mahupun jurulatih tempatan.

Pandelela (squatting fourth from left) with her teammates and coaching staff.

Kekurangan pelapis menjadi antara punca kem terjun negara semakin kritikal.

“Ada beberapa negeri yang kekurangan dari segi atlet. Dua tahun lepas pun ada isu tiada acara terjun kategori wanita di Sukma. Jadi itulah as a diving community, kita kena bersatu padu. Kita perlukan pelapis yang ramai untuk pilih terbaik. Kalau ada beberapa orang sahaja, susah nak pilih.

“Banyak benda yang boleh diperbaiki sebab saya berada di barisan kakitangan sekarang. Ada beberapa perlu tambah baik seperti program negeri, fasiliti, jurulatih negeri. Kita kekurangan dana. Kadang-kadang nak buat tapi ada kekangan dana.

“Lokal jurulatih pun tak ramai. Kalau ada pun mungkin kurang minat untuk jadi jurulatih. Harapnya selepas ada perubahan gaji jurulatih, lebih ramai nak jadi coach,” jelasnya yang membahas masa depan kem terjun negara selepas kegagalan ke mendapatkan slot ke Olimpik Paris baru-baru ini.

Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee kempunan layak ke Sukan Olimpik Paris selepas terkandas di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada awal Februari lalu.

Ia adalah kali pertama dalam tempoh 24 tahun, Malaysia tidak akan mempunyai penerjun wanita beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas konsisten beraksi di temasya berkenaan sejak Sydney 2000.

Diving - World Aquatics Championships - Hamad Aquatic Centre, Doha, Qatar - February 6, 2024  Malaysia's Pandelela Pamg and Nur Dhabitah Sabri in action during the women's 10m Synchronised Finals REUTERS/Clodagh Kilcoyne

Pandelela (kiri) dan Nur Dhabitah ketika acara 10m platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha. — Reuters

Bercakap mengenai perbezaan atlet zaman dahulu dan sekarang, Bryan menyatakan bahawa olahragawan serta olahragawati kini lebih banyak medium untuk bersuara untuk mengeluarkan pendapat mereka.

“Saya rasa atlet sekarang lebih banyak bersuara dengan benda dia rasa tak betul dan jika rasa itu hak dia. Mungkin juga berlaku sebab teknologi. Dulu Facebook tiada dan sekarang atlet ada akses. Contohnya akses kepada netizen luar. Mereka lebih commercialize.

Mindset pun berbeza, kita dulu jenis atlet yang dengar sahaja sebab kita tak banyak bertukar pendapat atau komunikasi dua hala. Atlet sekarang ada komunikasi dua hala. Perkara ini ada baik dan buruknya. Untuk atlet sekarang, ia mungkin keperluan,” jelasnya.

Bryan bagaimanapun berharap agar atlet terjun sekarang tidak terpengaruh dengan anasir luar seperti komen warganet mengenai prestasi mereka dan sebaliknya perlu fokus untuk membaiki persembahan masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram