KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyifatkan isu tular mengenai seorang guru yang menjalinkan hubungan cinta dengan muridnya sendiri perlu ditangani.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, buat masa ini, tiada sebarang akta wanita di bawah kementerian itu yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan kepada guru yang bertindak sedemikian.
"Mungkin ada kementerian lain bertanggungjawab, dari segi peraturan dan disiplinnya.
"Jika ia di bawah kami (KPWKM), mungkin mudah untuk saya berikan penjelasan, tetapi tidak," katanya dalam sidang media ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Kumpulan Sasar KPWKM dengan kerjasama 99 Speedmart.
Tambahnya, KPWKM juga prihatin terhadap isu melibatkan golongan pendidik yang termasuk dalam rangkuman pembangunan sosial negara.
BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih
Nancy ketika memberi ucapan di majlis tersebut.
Nancy berkata, pihaknya menyeru agar para guru dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin bagi mengatasi masalah tersebut.
"Sebab itu kita ada Majlis Sosial Negara (MSN) yang ditubuhkan untuk pembangunan sosial negara yang merangkumi perkara seperti ini.
"Kita mahu supaya para tenaga pengajar mempunyai nilai-nilai sepatutnya sebagai seorang pendidik," katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain bagi mencari jalan penyelesaian dan memperbaiki keadaan sosial dalam negara.
Menurutnya, terdapat pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk memfokuskan pelajar kepada perkara positif.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang guru dipercayai sudah berkahwin sedang berdua-duaan dengan pelajar lekakinya di tepi pantai.
Guru wanita berusia 37 tahun itu dilaporkan bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun walaupun sudah mempunyai suami dan lima orang anak.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa tidak akan bertolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikannya.
Sementara itu, kes tersebut juga sedang dalam siasatan pihak polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram