SERAMAI 712 individu berjaya mendapat pekerjaan dan layak ke temuduga kedua dalam Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024: Tiada Yang Terpinggir pada 14 Mac hingga 16 Mac 2024 yang bertempat di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) yang lalu.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan, karnival ini dilaksanakan sempena Sambutan Hari Wanita oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi PERKESO bertepatan dengan Hari Wanita Sedunia yang disambut 8 Mac setiap tahun.
"Sebanyak lebih 50 majikan yang terlibat telah menawarkan 10,000 peluang pekerjaan terdiri daripada pelbagai industri dan terdapat juga majikan yang menawarkan waktu bekerja secara fleksibel dengan gaji yang berpatutan antaranya RHB Bank, RHB Asset Management, PantangPlus dan DHL Asia Pacific Shared Services.
“Hasil semakan PERKESO seramai 1,077 orang pencari kerja hadir ke karnival ini dengan 66 peratus yang hadir berjaya mendapat pekerjaan dan layak ke temu duga peringkat seterusnya dari majikan yang terlibat dalam karnival kerjaya ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Penganjuran karnival ini turut membuka lebih banyak ruang dalam pembangunan karier golongan wanita di masa hadapan. — PERKESO
PERKESO menegaskan penganjuran karnival ini dilihat efektif dan memberi dampak positif kepada pencari kerja khususnya kepada wanita, dari segi peningkatan akses kepada pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan majikan serta menggalakkan kesaksamaan jantina dalam tenaga kerja negara.
Penganjuran karnival ini turut membuka lebih banyak ruang dalam pembangunan karier golongan wanita di masa hadapan dengan penglibatan pelbagai majikan yang menawarkan fleksibiliti waktu bekerja, pilihan bekerja dari rumah termasuk penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.
Sementara itu, seorang pencari kerja, Balqis Ali yang hadir ke Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs memaklumkan, beliau berjaya mendapatkan pekerjaan di PantangPlus sebagai In-House Therapist dan menyeru pencari kerja yang lain terutamanya wanita untuk mendaftar dengan MYFutureJobs kerana pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan.
Sambutan Hari Wanita KESUMA dan Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024: Tiada Yang Terpinggir ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed
PERKESO menyeru pencari kerja yang sedang mencari pekerjaan untuk menyertai Karnival Kerjaya dengan mendaftar di https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/ atau layari atau layari https://myfuturejobs.gov.my/ untuk carian pekerjaan secara dalam talian.
Bagi majikan yang ingin menawarkan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, mereka juga boleh layari https://myfuturejobs.gov.my/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram