[VIDEO] Lelaki koma lepas cuba tahan perompak di Kepong, adik kumpul bukti mahu bela nasib abang


  • Tular
  • Ahad, 24 Mac 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan mangsa dipercayai cuba menahan seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu.

SEORANG lelaki cedera parah selepas cuba menahan perompak yang menunggang motosikal di hadapan sebuah restoran sushi di Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menerusi hantaran dimuat naik adiknya di Facebook Eric Kit, mangsa kini masih dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kejadian.

"Rompakan pada waktu tengah hari. Abang saya masih koma angkara pelanggaran ini." katanya.

BACA LAGI: Angkara kereta sangkut bayar, polis tak puas hati tikam, tembak 2 pemungut hutang

BACA LAGI: Dapat job dalam Telegram, suspek serangan Crocus mengaku diupah RM25,000, dipercayai bekas tentera Ukraine

Hantaran bersama video kamera litar tertutup (CCTV) di deretan premis itu memaparkan mangsa berpaut di belakang tempat duduk motosikal tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersbeut daripada seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun.

Katanya, ketika kejadian, wanita itu bersama teman lelakinya sedang berjalan di tepi kaki lima kedai dan telah diragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

"Suspek dengan pantas menarik rantai leher milik pengadu sekali gus menyebabkan teman lelakinya bertindak mengejar suspek.

"Teman lelaki pengadu berjaya membonceng di belakang motosikal suspek, namun suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan terhentak di kepala serta patah kaki kanan.

"Mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, pihak polis juga sudah mengesan sebaran klip video berkenaan serta meminta orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan maklumat yang tidak tepat berkenaan insiden itu.

Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul 03-40482222," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram