MEWAJIBKAN pendidikan prasekolah merupakan aspirasi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang sepatutnya direalisasikan pada tahun 2020.
Matlamat ini tidak tercapai disebabkan beberapa cabaran yang dihadapi seperti kurangnya kesedaran terhadap pendidikan prasekolah untuk umur empat dan lima tahun ke atas.
Selain itu ialah kekurangan mobiliti di kawasan geografi dan komuniti tertentu, selain kekangan dari segi kewangan, seperti yang dipetik daripada Laporan Komprehensif Pendidikan Prasekolah di Malaysia yang dikeluarkan oleh Kumpulan Bank Dunia tahun lalu.
Prasekolah di Malaysia wujud sejak tahun 1940-an, dengan 64 peratus pusat beroperasi di bawah beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), iaitu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, selain Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Sementara 36 peratus prasekolah lainnya merupakan pemilikan sendiri atau dibiayai badan bukan kerajaan.
Tidak dapat dinafikan, kepentingan pendidikan prasekolah adalah bersandarkan kepada pelbagai kajian yang dilaksanakan.
Misalnya kajian dalam bidang neuro-saintifik yang menunjukkan bahawa terdapat impak signifikan terhadap perkembangan minda kanak-kanak pada lima tahun pertama, penemuan pada kajian mengenai pendidikan awal kanak-kanak, selain faktor sosioekonomi.
BACA LAGI: Prasekolah kanak-kanak berkeperluan khas dibuka di Shah Alam
Negara memerlukan pendekatan yang lebih berani dan drastik bagi menangani isu pendidikan prasekolah di Malaysia.
BACA LAGI: Kurikulum Persekolahan 2027 guna pendekatan baharu
Menyediakan pendidikan prasekolah berkualiti juga penting dalam usaha memenuhi empat fokus utama untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG4) bagi memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta kesediaan untuk pendidikan rendah.
Namun untuk mewajibkannya kepada semua kanak-kanak, Malaysia perlu bersedia dari segi ekosistem kerana pertimbangan utama bukanlah kuantiti semata-mata, tetapi juga kualiti.
Persoalannya, adakah kita mempunyai dana, sumber, persekitaran pembelajaran yang kondusif, tenaga pengajar berkelayakan dan profesional serta sistem tadbir urus yang berkesan dan cekap?
Pada tahun 2017, kerajaan memperuntukkan sebanyak 0.15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan prasekolah.
Secara relatifnya ia lebih rendah berbanding negara berpendapatan tinggi dan sederhana yang lain.
Menurut laporan tahunan Bank Dunia pada 2023, kadar itu jauh lebih rendah berbanding satu peratus daripada KDNK yang dicadangkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Lydia Foong
Pemenang Nobel yang juga ahli ekonomi, James Heckman berkata, pendidikan awal kanak-kanak ialah satu strategi yang mempunyai elemen keberkesanan kos untuk menggalakkan pembangunan tenaga kerja seterusnya merancakkan ekonomi negara.
Malaysia memerlukan peningkatan yang ketara dari segi pelaburan dalam pendidikan prasekolah, khususnya untuk golongan masyarakat terpinggir.
Kerajaan persekutuan dan negeri boleh memainkan peranan lebih aktif dalam menyediakan penyelesaian yang berkesan, sumber mencukupi, kemudahan dan tenaga pengajar yang berkelayakan di setiap daerah bagi memenuhi keperluan kanak-kanak prasekolah.
Ini boleh dicapai dengan menyediakan pembiayaan bersasar untuk prasekolah di kawasan geografi yang sukar diakses atau apabila pelaburan tidak dapat dilakukan.
Malaysia memerlukan peningkatan yang ketara dari segi pelaburan dalam pendidikan prasekolah, khususnya untuk golongan masyarakat terpinggir. — Agensi
Antara penyelesaian terbaik adalah dengan melantik satu agensi tunggal yang menyelaraskan proses pendaftaran, tadbir urus dan mengawasi entiti prasekolah di Malaysia.
Agensi tersebut bukan sahaja akan menjadi pusat rujukan untuk hal-hal berkaitan polisi dan proses jaminan kualiti, malah menjadi sebuah hab perkhidmatan yang menghubungkan pemegang taruh dengan perkhidmatan pendidikan prasekolah serta penjagaan anak yang relevan.
Hal ini akan dapat mengelakkan pertindihan sumber dan merumuskan sebuah sistem bersepadu merangkumi segala keperluan asas, bermula daripada pendaftaran sehinggalah kepada latihan serta pentadbiran.
Kita memerlukan pendekatan yang lebih berani dan drastik bagi menangani isu pendidikan prasekolah di Malaysia bagi membolehkan sektor pendidikan ini diwajibkan. — Majoriti
Profesor Madya Dr Lydia Foong Yoke Yean merupakan Pengarah Inovasi dan Pembangunan Kurikulum di Pusat Pembelajaran Masa Depan di Universiti Taylor.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram