[VIDEO] Juruterbang, penumpang nyaris maut, heli bertembung Piper baru berlepas di landasan


  • Benua
  • Isnin, 18 Mac 2024

Tangkap layar video nahas tersebut menyaksikan sebuah helikopter bertembung di udara dengan sebuah pesawat ringan yang baru hendak berlepas.

DI dalam dunia penerbangan, aspek keselamatan merupakan antara perkara terpenting yang sangat dititikberatkan.

Ini kerana sebarang kecuaian yang berlaku meskipun kecil, berpotensi menyebabkan risiko kemalangan cukup besar yang kebiasaannya melibatkan kehilangan nyawa.

Disebabkan itu, industri penerbangan dilihat memiliki prosedur operasi standard keselamatan yang cukup tinggi bagi mengelakkan nahas yang buruk.

Bagaimanapun, malang tidak berbau.

Pada 23 September 2017, seorang juruterbang dan penumpang helikopter berdepan detik cukup mengerikan apabila pesawat dinaikinya berlanggar dengan sebuah pesawat kecil lain di udara.

Kemalangan yang berlaku di sebuah lapangan terbang di Florida, Amerika Syarikat (AS) itu melibatkan helikopter Robinson R22 N44TB dan pesawat ringan jenis Piper PA-28R-201.

Dalam kejadian berkenaan, pesawat ringan berkenaan dilaporkan baru sahaja hendak berlepas di landasan lapangan tersebut.

Insiden tersebut turut dirakam oleh kamera keselamatan yang berada di lokasi.

20170923_R22_N404TB_6180

Keadaan helikopter terlibat selepas kemalangan tersebut. — Agensi

Insiden tersebut menyaksikan juruterbang pesawat ringan terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

Lebih mengejutkan, kedua-dua juruterbang yang mengendalikan helikopter terbabit langsung tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, kedua-dua juruterbang helikopter berkenaan memaklumkan mereka sudah memaklumkan juruterbang pesawat ringan tersebut mengenai keberadaan mereka di landasan berkenaan untuk melakukan latihan.

Bagaimanapun, makluman berkenaan difahamkan tidak didengar dengan begitu jelas oleh juruterbang pesawat ringan yang meneruskan proses perlepasan.

Pemeriksaan menyeluruh sistem komunikasi radio dalam kapal terbang dan helikopter terbabit tidak menemui sebarang tanda kerosakan terhadap alat yang digunakan.

Laporan dikeluarkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan kemalangan itu berpunca daripada komunikasi trafik bercelaru.

Dalam kejadian tersebut, kedua-dua pesawat berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram