POLIS sudah merakam kenyataan enam individu berhubung kes wanita mengelar anaknya berusia setahun sehingga maut di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, individu tersebut adalah saksi termasuk bapa bayi, ahli keluarga lain dan jiran tetangga.
"Siasatan masih diteruskan dan kita telah memanggil beberapa saksi untuk keterangan mereka.
"Suspek utama yang merupakan ibu kanak-kanak itu kini ditahan reman di Hospital Permai sehingga 23 Mac ini.
"Siasatan awal menunjukkan suspek mempunyai masalah kesihatan tetapi kami masih menunggu laporan daripada pihak hospital," katanya pada Selasa.
BACA LAGI: Sempat bagi donat sehari sebelum tragedi, jiran dakwa suspek kes kelar bayi tiba-tiba jadi pendiam
Bayi lelaki berusia setahun yang maut dalam kejadian itu. — Facebook
BACA LAGI: Ibu kandung hantar gambar anak kepada suami lepas kelar bayi sendiri di Pasir Gudang
Katanya, suspek berusia 32 tahun itu juga mendapatkan rawatan di hospital kerana terdapat beberapa kecederaan di kepala.
Pada Ahad lalu, suspek ditahan selepas didakwa mengelar leher bayi lelakinya di rumah mereka di Pasir Gudang.
Terdahulu, Kumar berkata, laporan telah dibuat mengenai kematian bayi itu pada kira-kira 1.30 tengah hari Sabtu (16 Mac).
Siasatan awal juga mendapati, suspek menghantar gambar mangsa yang berlumuran darah kepada suaminya melalui aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, mereka yang mengalami masalah kesihatan mental atau terdetik mahu membunuh diri boleh menghubungi Perkhidmatan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999 atau 019-261 5999 di WhatsApp); Pusat Jagaan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (011-1959 8214 di WhatsApp); dan Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929, atau layari www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia untuk senarai penuh nombor dan waktu operasi, atau emel [email protected]. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram