Peniaga asal Kompleks PKNS perlu diberi keutamaan kekal imej ikonik Shah Alam — Azli Yusof


  • Massa
  • Isnin, 18 Mac 2024

Daya tarikannya dilihat masih ada sehingga ke hari ini meskipun rekaan bangunannya agak ketinggalan berbanding bangunan moden terkini yang lain.

SEJAK sekian lama, Kompleks PKNS sememangnya menjadi mercu tanda bagi penduduk bandar raya Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor.

Kedudukannya yang terletak di pusat bandar menjadikannya sebagai kawasan tumpuan sejak ia mula beroperasi sekitar tahun 1970-an.

Malah boleh dikatakan daya tarikannya dilihat masih ada sehingga ke hari ini meskipun rekaan bangunannya agak ketinggalan berbanding bangunan moden terkini yang lain.

Ini dibuktikan apabila Kompleks PKNS terus menjadi pilihan orang ramai setiap kali tibannya musim perayaan untuk mendapatkan barangan keperluan.

Bagaimanapun, selepas lebih empat dekad, kompleks berkenaan dijangka mengalami satu projek pembangunan semula pada tahun ini.

Muslims buying clothes, biscuits and house decorations among others for Raya at PKNS Complex Shah Alam. - Photos: KK SHAM, LOW LAY PHON & AZLINA ABDULLAH/The Star

Kompleks PKNS menjadi tumpuan utama setiap kali tibanya musim perayaan.

Seorang pengguna X pada Sabtu dalam ciapannya mendedahkan, bahawa kompleks PKNS akan dirobohkan tidak lama lagi bagi memberi laluan terhadap projek pembangunan semula di kawasan tersebut.

Dua lagi mercu tanda yang dilaporkan bakal turut terlibat adalah ialah SACC dan SACC Mall.

Dalam ciapan tersebut, difahamkan kawasan terbabit akan dibangunkan semula dengan beberapa strategik pembangunan yang dirancang oleh pihak PKNS sendiri.

Hantaran tersebut ternyata meraih perhatian warganet yang rata-ratanya menyatakan kesedihan dengan perancangan tersebut.

Ini kerana rata-rata daripada mereka menyifatkan bahawa kompleks berkenaan merupakan satu bangunan yang ikonik di Shah Alam.

Untuk rekod, pelan perancangan tersebut yang menelan bernilai RM2 bilion sudah pun diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas pada Disember tahun lalu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, projek tersebut yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini melibatkan kawasan hadapan stesen LRT3 Dato Menteri.

Katanya, PKNS juga merancang untuk memulihkan beberapa bangunan di kawasan itu melibatkan Kompleks PKNS, SACC dan SACC Mall dengan memberi tumpuan terhadap konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) bersama-sama Konsep Bandar Pintar.

GAq2jkGaIAApJCt

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof

Mahmud berkata, projek itu dijangka mengambil masa beberapa tahun dan ia diharap dapat disiapkan lebih daripada 90 peratus menjelang 2028.

Tambahnya, projek dilakukan dengan objektif bagi menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya bersih sifar karbon, dengan bangunan dinaik taraf menggunakan sistem air sejuk berpusat.

Kekalkan peranan ikonik Kompleks PKNS

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, berdasarkan pelan perancangan yang dikongsikan, tapak dan bangunan asal kompleks berkenaan dijangka masih dikekalkan dalam pembangunan semula tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat beberapa penambahbaikan akan dilakukan terhadap reka bentuk dan rekaannya bagi membolehkan ia tampil lebih moden.

"Mungkin akan ada penambahan daripada segi facade, supaya nampak lebih moden dan kemudian ia akan ada akses dengan bangunan baharu yang ingin dibangunkan.

"Maksudnya dia ada satu ruang dataran berbumbung macam dekat pusat beli-belah Mid Valley yang memiliki kawasan bercampur antara ruang niaga dan kawasan pejalan kaki yang luas.

"Jadi, kalau itu konsep yang diterapkan saya rasa, ia merupakan satu penambahbaikan sebab ia akan akan meremajakan kawasan perdagangan ini menjadi lebih baik," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-03-17 at 3.16.59 PM (1)

Tapak (garisan merah) asal Kompleks PKNS yang dikekalkan dalam projek pembangunan semula tersebut. — Azli Yusof

Menurut, Azli, sebagai kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD), ia akan turut berhubung dengan beberapa kemudahan utama termasuk stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Beliau berkata, meskipun mengakui kompleks berkenaan merupakan mercu tanda agak nostalgik buat penduduk Shah Alam, keadaan persekitarannya bagaimanapun dilihat sudah agak ketinggalan berbanding lokasi perdagangan lain yang dibina di sekitar pusat bandar raya itu.

"Di sekitar pusat bandar Shah Alam ada pejabat MBSA, Hotel Concorde, masjid negeri, kemudian ada hospital pakar Avisena dan Vista Alam Alam.

"Bandingkan dengan bangunan ini, kawasan sekitar kompleks PKNS itu dilihat agak lama dan terbiar. Jadi mungkin PKNS lihat ini masa yang sesuai (untuk lakukan pembangunan semula)," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan imej dan peranan kawasan tersebut sebagai destinasi kawasan tumpuan bagi mencari barangan tradisional orang Melayu termasuk ketika perayaan seharusnya dikekalkan selepas projek pembangunan selesai.

"Sebab kawasan ini terkenal orang datang nak beli pakai tradisi melayu pakaian raya, keperluan nak pergi haji. Saya rasa tarikan itu perlu dikekalkan.

"Maknanya peniaga dekat situ harus diberikan keutamaan untuk terus berniaga. Jadi kawasan ini boleh jadi suatu tempat yang ikonik nak cari barangan tradisi.

"Contohnya kalau orang nak dapatkan songket pun mereka tak perlu jauh ke Terengganu atau Kelantan, dekat sini pun boleh dapatkan," ujarnya.

Mengulas mengenai masa depan peniaga di kompleks berkenaan, Azli berkata, beliau pasti PKNS pastinya mempunyai perancangan untuk kumpulan tersebut.

"Saya akan dapatkan kepastian semasa sesi libat urus nanti," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram