SEORANG lelaki dipercayai pemilik bengkel membaiki motosikal berdepan kejadian pelik selepas menerima 'tetamu tidak diundang' semasa mahu menutup premisnya pada Isnin.
Ia selepas sebuah motosikal yang dinaiki dua individu secara tiba-tiba memasuki kedainya tanpa diketahui tujuannya.
Lebih mengejutkan, dua motosikal polis kemudiannya turut memasuki premis berkenaan, dipercayai kerana mengejar kedua-dua lelaki tersebut.
Sebelum itu, pemilik bengkel berkenaan dilihat sudah menurunkan salah satu daripada shuttle door di bahagian depan untuk penutupan premis.
Insiden pelik tersebut turut dirakam kamera di dalam kedai tersebut dan tular di media sosial sejak Rabu.
Berdasarkan klip berkenaan, pemilik kedai berkenaan dilihat turut terpinga-pinga dengan situasi yang berlaku.
BACA LAGI : Sentiasa pakai baju tak tayang badan masa buat konten, Bill Gates pun 'chai' teh buatan Dolly Chaiwala
Motosikal dinaiki dua lelaki itu dilihat turut diekori oleh motosikal polis sehingga ke dalam premis.
BACA LAGI : Mat Pakistan tunggang motor tanpa lesen, cari gaduh lepas langgar perempuan di Bangi
Pada masa sama, kejadian tersebut turut menimbulkan kelucuan dalam kalangan warganet.
"Shuttle door punyalah berat sampai sampai berdiri abang tu pijakkan, sekali bertambah lambat abang tu nak balik," tulis Noreen Natasha Kamas.
"Biasalah, selalunya masa nak tutup kedai masa tulah orang baru nak mai," seloroh Syafiq Ghazali.
Dalam pada itu, berdasarkan video tersebut, kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal berkenaan kemudiannya diarahkan untuk keluar dari dalam premis berkenaan oleh dua anggota polis berkenaan.
Mereka juga kemudiannya berada di luar kedai terbabit dipercayai untuk disoal siasat.
Berdasarkan tarikh pada video berkenaan, kejadian itu difahamkan berlaku sekitar pukul 7.54 malam Isnin.
Namun, lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, selain belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram