
SEORANG remaja perempuan yang juga pelajar madrasah dilaporkan hilang sejak 5 Mac lalu dari rumahnya di kuarters Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, Johor.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee, berkata Nurul Aina Najwa Abdul Fattah kali terakhir dilihat bapa dan ibu tirinya berusia 30-an, di rumah mereka sekitar pukul 12.30 tengah malam.
BACA LAGI: Jadikan Birmingham muflis sebagai iktibar, ini pro-kontra Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026
Katanya, remaja tersebut kemudiannya disedari hilang pada pukul 6 pagi dengan laporan polis dibuat pada pukul 7 malam hari sama.
"Setakat ini, polis telah merakam percakapan ibu tiri remaja terbabit untuk membantu siasatan.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, remaja itu dikatakan mempunyai isu enggan pergi ke sekolah susulan persekolahan yang baru bermula," katanya dalam satu kenyataan.
Seng Lee berkata, polis kini sedang berusaha mengesan remaja tersebut, yang memiliki tubuh badan berisi, berkulit putih dan memakai cermin mata.
BACA LAGI: Ibu bapa terasa kenaikan belanja persediaan sekolah
Katanya, remaja berkenaan merupakan pelajar madrasah di Saleng, Kulai Johor dengan bapanya bertugas sebagai pemandu ambulans manakala ibu tirinya bekerja sebagai guru tuisyen.
Bagaimanapun, katanya, pasangan itu tidak pasti pakaian terakhir dipakai remaja berkenaan sebelum dilaporkan hilang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Kulai melalui talian 07-6632222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Teo Feng Shun (018-3774339). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram