'Hilang' sebab takut kena marah, ibu syukur Siti Dhia ditemukan selamat di restoran mamak Sri Rampai


  • Tular
  • Ahad, 17 Mac 2024

Siti Dhia yang hilang sejak Selasa ditemui selamat pada Ahad di sebuah restoran mamak yang terletak di Sri Rampai, Kuala Lumpur.

KANAK-KANAK yang hilang sejak Selasa lepas ditemukan selamat pada pukul 2 pagi Ahad di sebuah restoran mamak dekat Sri Rampai, Kuala Lumpur, kata ibu mangsa.

Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili berkata, anaknya, Siti Dhia Batrisyia ditemukan berada seorang diri di sebuah restoran mamak oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang kemudiaannya memaklumkan perkara itu kepadanya.

Syarifah Rosfazila turut berkata, anaknya itu enggan pulang ke rumah selama hampir enam hari akibat takut dimarahi selepas ponteng sekolah pada Selasa lalu.

BACA LAGI: 'Dia mahu buat kejutan anniversary', ibu rayu bantuan orang ramai cari anak hilang sejak 12 Mac lalu

Dalam pada itu, wanita berusia 41 tahun berkenaan turut meluahkan rasa syukur selepas mengetahui keberadaan anaknya itu.

"Saya dengan rendah hati meminta maaf dan berterima kasih dekat semua yang bantu dan doakan," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu hilang dari rumahnya di Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng, Kuala Lumpur sejak 12 Mac lalu.

BACA LAGI: '10 tahun kawan pun kena ada boundaries', Eyra Hazali anggap tindakan Ruhainies bawa Aliff masuk kondo tak berasas

Ibu mangsa, Syarifah Rosfazila sebelum ini menyatakan bahawa Siti Dhia tidak hadir ke sekolah kerana mahu membuat kejutan buat dirinya.

"Pagi itu dia tak pergi ke sekolah sebab nak beli hadiah untuk anniversary saya pada 8 Mac lalu. Tak sempat cakap dengan dia lagi mengenai itu, kiranya macam nak buat kejutan untuk saya," katanya kepada Majoriti pada Khamis lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram