[VIDEO] Pemandu Porsche Cayenne terselamat, rempuh gajah sampai terlentang tengah jalan di Setiu


  • 112
  • Sabtu, 16 Mac 2024

Kemalangan melibatkan seorang pengurus dengan seekor gajah di Kampung Kolam, Setiu, Terengganu pada Jumaat malam.

SEORANG pengurus di sebuah syarikat dilaporkan selamat selepas kenderaan yang dipandunya melanggar seekor gajah di Kampung Kolam, Setiu, Terengganu pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, mangsa Sharul Azma Che Samaon, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan terbabit.

Bagaimanapun ujarnya, bahagian hadapan kereta mewah jenis Porsche Cayenne dipandu mangsa rosak dengan cermin retak, bampar dan lampu pecah selain kemek pada bonet dan 'fender'.

"Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.15 malam daripada anggota bertugas Kaunter Aduan Trafik Setiu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan dari Rhu 10 ke Lembah Bidong dan setibanya di lokasi kejadian iaitu di Kilometer 45, Kampung Kolam di Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja dia tidak sempat mengelak haiwan itu yang berada di atas jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Otak bersepai dalam helmet, pembonceng maut bertembung lori di Gelang Patah

BACA LAGI: [VIDEO] Motor melelong terlanggar batu sebelum terseret, polis bantuan maut nahas babit 5 kenderaan di Iskandar Puteri

Menurut Afandi, gajah itu ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Besut di sekitar Telaga Papan, Setiu pada kira-kira 1 tengah hari Sabtu.

"Haiwan liar itu ditangkap di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan sebuah kampung iaitu kira-kira 20 kilometer (km) dari lokasi berlakunya kemalangan.

"Selepas ini gajah tersebut akan dihantar ke kawasan hutan simpan sama ada di Gerik, Perak atau Hulu Terengganu untuk dilepaskan semula jauh dari penempatan manusia," katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, gajah berkenaan berada dalam pemerhatian Perhilitan Terengganu sejak beberapa hari lepas kerana didapati berkeliaran di sekitar Setiu dan dalam proses tangkap pindah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram