KISAH seorang lelaki warga emas yang terjatuh ketika menunaikan solat akibat kerusinya ditarik kanak-kanak di Masjid Al Falah Taman Tunku Puan Chik, Bahau, Jempol, Negeri Sembilan pada 10 Mac lepas masih hangat diperkatakan sehingga kini.
Ia susulan satu hantaran dimuat naik di Facebook Khairul Amzar Tansri yang merupakan anak kepada warga emas itu, Mohd Kassim Maarof, 63, pada Khamis lalu.
Selepas menyedari kejadian itu tular di pelbagai platform media sosial, Khairul meminta agar orang ramai berhenti memberi kecaman terhadap seluruh ahli keluarga kanak-kanak terbabit.
BACA LAGI : Bapa budak tarik kerusi sampai warga emas jatuh terlentang ketika solat di Bahau minta maaf
Keadaan Mohd Kassim ketika dimasukkan ke hospital selepas kejadian itu. — Facebook
Khairul menganggap ia satu ujian dan dugaan buat keluarganya, malah percaya bahawa ibu bapa kanak-kanak tersebut bukan individu yang kejam.
"Saya memohon kepada semua agar dihentikan kecaman terhadap anak kecil dan ibu bapa anak yang terlibat. Mohon jangan lemparkan kata-kata kesat, kecaman, atau cyberbully (buli siber) terhadap anak tersebut, juga terhadap kedua-dua ibu bapanya.
"Mohon tinggalkan komen-komen murni sebagai pengajaran, peringatan dan ibrah buat kita semua. ALLAH telah memilih pakcik baju biru (dan kami sekeluarga), anak dan ibu bapa anak tersebut untuk didatangkan ujian pada kali ini," luahnya.
Pada masa sama, Khairul juga sempat berkongsi perkembangan terbaharu tentang keadaan ayahnya yang kini dikenali sebagai pakcik baju biru dalam kalangan netizen selepas kejadian itu.
Menurutnya, ayahnya kini sedang mendapatkan rawatan di hospital kerana mengalami gejala seperti kerap muntah sehingga menyebabkan badannya lemah.
Khairul mengimbau kembali ketika menerima khabar daripada ibunya berhubung tahap kesihatan bapanya pada hari ketiga Ramadan.
"Ketika dalam perjalanan ke ofis sekitar pukul 6.45 pagi ini (3 Ramadan), saya mendapat panggilan telefon daripada umi.
"Suara umi agak lain dan mula menangis. Khabarnya kesihatan ayah (pakcik baju biru) mula merosot, kerana muntah kerap kali sejak malam tadi.
"Setelah dibuat pemantauan beberapa ketika, doktor membenarkan pakcik baju biru pulang, berehat dan dipantau kesihatan di rumah," kongsinya.
Khairul berkata, setelah dirujuk kepada doktor pakar, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan tiada sebarang kecederaan berlaku di kepala bapanya.
"Syukur Alhamdulillah, sekurang-kurangnya hati lega selepas buat pemeriksaan lanjutan," ceritanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram