[VIDEO] 'Saya fikir ini jalan terbaik', Bella Astillah tuntut cerai, Aliff sibuk 'shooting' tak hadir di mahkamah


  • Hiburan
  • Rabu, 13 Mac 2024

Bella Astillah tiba di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur pada Rabu.

PELAKON, Bella Astillah, 29, memfailkan permohonan perceraian daripada suami, Aliff Aziz, 33, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin, dua hari selepas kontroversi khalwat antara suaminya, Aliff Aziz bersama pelakon, Ruhainies.

Sebutan kali pertama berlangsung pada Rabu apabila Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 12.40 tengah hari Rabu, ditemani ibu Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah.

Bagaimanapun, kelibat Aliff, 33, tidak kelihatan di kawasan berkenaan.

Memetik laporan berita tempatan, sebaik sebutan kali pertama kes berakhir, Bella memberitahu dia nekad untuk bercerai.

“Sebenarnya, saya fikir ini jalan terbaik untuk saya. Seperti mana semua tahu, kami pernah rujuk sebelum ini. Jadi, saya fikir, dengan memilih jalan masing-masing, ini mungkin yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.

“Pada awalnya, dia bersetuju dan lagi-lagi pada Ramadan ini, saya mahu semuanya lancar... Itu sahaja,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak tarik kerusi sampai warga emas jatuh terlentang ketika solat di Bahau minta maaf

BACA LAGI: Diam-diam mematikan, ketahui 5 jenis penyakit silent killer boleh terjadi kepada anda

Sementara itu, peguam syarie mewakili Bella, iaitu Azmi Mohd Rais berkata, Aliff tidak hadir atas urusan penggambaran dan prosiding diteruskan, bulan depan.

“Hari ini adalah sebutan pertama bagi kes tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah. Kami sudah failkan kes ini, kelmarin, iaitu perceraian secara ekspres sebab kami dapat berita sebelum ini Aliff bersetuju.

“Tetapi hari ini Alif cakap dia tidak bersedia kerana ada penggambaran. Jadi, saya sudah mohon tarikh sebutan seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman secara kendiri dan berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik,” katanya.

Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Jumaat lalu.

Terdahulu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah.

Tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berdasarkan maklumat orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram