DUA mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, Sarawak dalam kejadian petang Khamis lepas ditemukan lemas pada Sabtu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat pertama ditemukan terapung oleh anggota polis di perairan berdekatan Pulau Kerto, Sibu, kira-kira pukul 10 pagi.
Beliau berkata, mayat kedua pula ditemukan terapung oleh anggota bomba pada pukul 4.02 petang, pada jarak kira-kira lima kilometer dari lokasi bot karam di Sungai Batang Baleh.
"Mayat pertama yang ditemukan di Pulau Kerto, Sibu dikenal pasti sebagai salah seorang penumpang bot berkenaan iaitu Jack Balan.
"Mayat kedua yang ditemukan pula disahkan sebagai anggota polis yang turut berada di dalam bot karam itu iaitu Sarjan Jonathan Lambet," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI: 'Jangan sayang sangat', bahaya cili kering berhabuk jika dimasak
BACA LAGI: Kuat minum kopi boleh sebabkan tulang rapuh
Menurutnya, operasi kini diteruskan untuk mengesan dua lagi mangsa iaitu seorang daripadanya anggota polis iaitu Konstabel Iskandar Ibrahim, manakala seorang lagi Amerson John Nain.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.
Salah seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi hilang dihanyutkan arus deras.
Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dan peledak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram