HASRAT seorang wanita dan keluarganya bersahur dengan buah kurma, tidak kesampaian apabila juadah kering yang dibelinya itu didapati dalam keadaan busuk serta berulat.
Kejadian disedari wanita terbabit ketika dia membuka kotak kurma berkenaan dan mengupas isi buah untuk membuang biji sebelum ternampak ulat keluar dari buah kering tersebut.
Mangsa, dikenali sebagai Farah Ameera Kamalariffin mendakwa dia membeli kurma tersebut di sebuah pasar raya yang berlokasi dekat Putatan, Sabah pada Isnin.
"Kejadian sahur tadi, walhal baru sahaja beli semalam di S*****y Putatan. 'Bersarang' la perut ini.
"Kenapa kamu (pasar raya) menjual seperti ini. Kalau ikutkan tarikh luput 28 Disember 2025.
"Hati-hati pada mereka yang di luar sana, sekarang kurma pun tak boleh percaya," tulisnya melalui satu hantaran Facebook pada Selasa.
BACA LAGI : [VIDEO] Juruwang mengandung terkilan ditumbuk pelanggan tak sabar sampai mata kiri bengkak di Johor Bahru
BACA LAGI : Lesen memandu MyJPJ sama tapi muka orang lain, apa cerita ni YB Anthony Loke, JPJ?
Tambah wanita berkenaan, bukan hanya satu tetapi kebanyakan buah kurma yang terdapat dalam kotak tersebut juga sudah berulat.
Selain itu, dia turut meminta penjelasan daripada syarikat pengedar kurma terbabit dan pasar raya berkenaan berhubung kualiti kurma yang dijual.
"Tolong ambil tindakan segera Yusuf Taiyoob dan mohon penjelasan S****y Putatan. Saya dah makan kurma yang kelima baru tersedar," katanya.
Sementara itu, jurucakap Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) meminta wanita berkenaan untuk segera menghubungi pihak mereka berhubung isu tersebut.
"Pelanggan boleh menghubungi kami dengan cara menelefon atau menghantar e-mel kepada pihak kami dengan kadar segera.
"Berkemungkinan produk itu mungkin rosak ketika berada dalam simpanan pasar raya berkenaan.
"Untuk makluman produk kurma di gudang dan pusat pengedaran Yusuf Taiyoob bersih dan kami sentiasa pantau kualiti produk.
"Hubungi kami dan kita akan siasat. Kita juga akan ganti kurma yang baru atau pulangkan semula duit pelanggan," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Pihak Majoriti juga telah cuba menghubungi pasar raya berkenaan namun gagal serta tidak mendapat sebarang respons. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram