LAPORAN awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati pesawat ringan Blackshape BK 160TR yang terhempas di Kapar, Selangor pada 13 Februari lalu tidak diselenggara dengan teratur.
Berdasarkan laporan yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MOT) itu, antara kerja penyelenggaraan tersebut termasuk melibatkan pemasangan bahagian pesawat yang tidak diperakui.
Menurutnya, pemasangan bahagian dan servis pesawat juga dilakukan oleh organisasi penyelenggaraan yang tidak dibenarkan atau kakitangan yang tidak layak menjalankan prosedur tersebut.
“Sehingga laporan ini dikeluarkan, antara penyelenggaraan tidak teratur yang dibuat ialah menanggalkan gear pendaratan hidung pesawat (NLG) dan aktiviti pemasangan baharu pada Februari 2024 yang dilaksanakan tanpa kebenaran atau dilaksanakan oleh petugas tidak layak.
“Pemasangan NLG baharu itu selesai sebelum kemalangan di mana penerbangan yang dibuat ialah bagi menguji alat yang baharu dipasang itu,” jelas laporan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Belum sempat nak 'blow' rambut, 'hair dryer' tiba-tiba meletup sambar muka pelanggan
Pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa dalam nahas pesawat ringan terhempas di Kapar.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Jakarta dikecam, TikToker Indonesia mula misi balas dendam 'serang' KL
Laporan awal turut menjelaskan, pemasangan bahagian tie-down ring yang tidak diperakui dibuat di bahagian bawah setiap sayap pesawat yang terletak berdekatan gear pendaratan utama.
Jelasnya, bahagian itu dipasang dengan bahan komposit, seterusnya diikat pada sambungan pemasangan sayap dengan ‘spar' utama.
“Keterangan saksi juga menunjukkan bahawa pemasangan bahagian yang tidak diperakui itu telah disiapkan pada 23 November 2023,” ujarnya.
Menurutnya lagi, aktiviti penyelenggaraan rutin juga dilakukan petugas tidak berkelayakan dengan melibatkan aktiviti seperti servis elemen penapis udara serta kerja servis lain yang siap pada November 2023.
“Terdapat kemungkinan besar wujud kerja penyelenggaraan yang tidak teratur berdasarkan catatan buku log yang disimpan oleh juruterbang.
“Laporan berhubung siasatan aktiviti penyelenggaraan itu akan dikemas kini kerana bukti lanjut sedang disiapkan,” jelasnya.
Pesawat ringan yang terhempas di ladang kelapa sawit itu berkemungkinan besar pecah di udara.
Selain itu, pesawat ringan yang terhempas di ladang kelapa sawit dan mengorbankan nyawa juruterbang bersama seorang penumpang itu juga berkemungkinan besar pecah di udara.
"Serpihan di sekitar kawasan itu menunjukkan kepingan struktur besar pesawat terpisah daripada rangka utama ketika pesawat dalam penerbangan sebelum terhempas di ladang kelapa sawit.
"Tidak ada petunjuk menandakan berlaku kebakaran sebelum atau selepas pesawat itu terhempas berdasarkan serpihan ditemui di lokasi kejadian," katanya.
Sebelum ini, MOT memaklumkan Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) melibatkan pesawat BK 160TR disiapkan oleh pihaknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram