DUA pelancong asing maut, manakala lima cedera termasuk empat parah selepas van pelancong yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 21, Jalan Semporna-Tawau, Semporna, Sabah pada petang Isnin.
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa iaitu lelaki warga Singapura, Lee Siong Huat, 60, dan wanita warga Vietnam, Ngo Trinh Buu Dung, 40, meninggal dunia di tempat kejadian
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 4 petang itu, treler dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun tersebut dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong kanan sebelum bertembung dengan van pelancong yang datang dari arah bertentangan.
"Lima lagi mangsa iaitu pemandu van warga tempatan dan empat lelaki warga Singapura yang parah dihantar ke hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tujuh pelancong asing berada dalam van itu berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. — Bomba
Mohd Farhan berkata, pemandu lori treler kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Mazlan Sarman berkata, seramai lima anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.03 petang.
Van pelancong terbalik selepas bertembung dengan sebuah treler dalam nahas tersebut.
"Tujuh pelancong asing berada dalam van itu berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya
Mazlan berkata, operasi menyelamat mangsa ditamatkan pada 5.32 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram