[VIDEO] Terkandas 6 jam, 4 pemancing berdepan detik cemas akhirnya terselamat di Pulau Tengah


  • 112
  • Ahad, 07 Mei 2023

Empat pemancing diselamatkan oleh APMM selepas enam jam terkandas di perairan Pulau Tengah, Mersing, Johor kerana bot yang dinaiki rosak. — APMM

EMPAT pemancing berdepan detik cemas apabila bot pancing mereka rosak dan menyebabkan mereka terkandas di perairan Pulau Tengah, Mersing, Johor pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, kesemua mangsa dipercayai keluar memancing pada pukul 7 pagi pada Sabtu dari Jeti Pengkalan Kampung Nelayan, Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurutnya, Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Selangor kemudiaanya menerima aduan daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru pada sekitar pukul 9.45 malam pada Sabtu bahawa terdapat sebuah bot pancing rosak dan terkandas di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Pulau Tengah, Mersing, Johor.

"Sejurus menerima maklumat, bot PERKASA 36 yang sedang dalam rondaan operasi diatur gerak ke lokasi untuk menyelamat mangsa-mangsa tersebut.

"Keempat-empat mangsa iaitu, Asfian Abu Bakar, 44 bersama anaknya Arfan Rafiq Asfian, 18, dari Shah Alam; Zamri Che Ani, 45, dari Kuala Lumpur dan Ahmad Ali, 66, dari Ampang ditemukan memakai jaket keselamatan berjaya diselamatkan dan dibawa ke jeti Polis Marin, Pulau Indah, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Siva Kumar berkata, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan, manakala bot pemancing terpaksa ditinggalkan di lokasi dalam keadaan bersauh kerana mengalami kebocoran.

Bantuan 'casualty evacuation' (Casevac) ditamatkan pada pukul 1.35 pagi pada Ahad.

Beliau turut menyarankan peminat sukan memancing yang gemar melakukan aktiviti tersebut di laut untuk meningkatkan tahap kesedaran keselamatan yang tinggi dan mengambil langkah yang bijak dengan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

"Komuniti pemancing juga diingatkan agar menyimpan nombor talian kecemasan 999 dan perlu memiliki peranti kecemasan peribadi yang boleh membantu pasukan penyelamat bagi mengesan kedudukan pemilik peranti bagi tujuan menyelamat di saat kecemasan.

"Sebarang insiden kemalangan ataupun kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram