MANGSA yang cedera parah akibat terkena bahan letupan buatan sendiri dikatakan sempat meminta pertolongan dari orang awam yang berada di kawasan Pusat Rekreasi Lata Kekabu, dekat Lenggong, Perak pada Isnin.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Amirul, 26, berkata, dalam keadaan cemas lelaki terbabit meminta pertolongan supaya dia menghubungi ambulans dan polis.
"Saya sedang salin pakaian panik selepas lelaki itu beritahu ada orang kena bom. Bahagian dada dia berdarah.
"Saya terus telefon 999. Pada masa sama saya cuba tenangkan lelaki terbabit. Berkali-kali dia minta polis cepat datang kerana rakannya cedera," katanya.
Memetik laporan Sinar Harian, Amirul tidak berani untuk pergi ke lokasi kejadian di hulu sungai.
"Saya difahamkan lokasi kejadian jauh, perlu berjalan kaki beberapa minit. Memikirkan keselamatan ibu dan ahli keluarga lain, saya tidak pergi melihat lokasi walaupun diberitahu ada mangsa parah.
"Saya diberitahu oleh peniaga di sekitar situ, mereka mengenali mangsa yang merupakan penduduk kampung berhampiran. Setelah polis tiba, kami terus bersiap-siap pulang," katanya.
Pada Isnin media melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah, akibat terkena bahan letupan buatan sendiri di Pusat Rekreasi Lata Kekabu pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Amirudin Khairudin, 44, dan dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Azlan Ali, 40, dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Taiping untuk menerima rawatan.
"Hari ini, kira-kira 3.12 petang Polis Gerik telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut dan bergegas ke sana untuk menjalankan siasatan. Setibanya di lokasi itu mendapati, seorang lelaki telah mati di tempat kejadian dan seorang lagi cedera parah.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, masyarakat dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang seperti menggunakan bahan letupan bagi tujuan penangkapan ikan dan tidak menyalahgunakan kawasan rekreasi sebagai lokasi aktiviti menangkap ikan.
Difahamkan kedua-dua lelaki itu sedang menangkap ikan ketika kejadian berlaku. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram