Baru 3 bulan sambut anak pertama, suami isteri terima berita duka bayi maut hari pertama di pusat asuhan


  • 112
  • Rabu, 06 Mac 2024

Siasatan mendapati mangsa dihantar kali pertama oleh bapanya ke pusat asuhan terbabit pada pukul 8.30 pagi hari berkenaan. — Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri terpaksa berdepan dengan hakikat yang cukup menyedihkan selepas bayinya yang baru berusia tiga bulan meninggal dunia selepas dihantar di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa pukul 2.31 petang pada hari kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dihantar kali pertama oleh bapanya ke pusat asuhan terbabit pada pukul 8.30 pagi hari berkenaan.

“Pada pukul 10.30 pagi, bapa mangsa dimaklumkan oleh pengurus pusat asuhan mengatakan bayi berkenaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, bedah siasat dijalankan pada pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang di Unit Forensik Hospital Shah Alam pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas mangsa didapati tiada mempunyai sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman.

"Keputusan bedah siasat adalah berstatus ‘pending laboratory investigation’, menunggu laporan daripada Jabatan Kimia," katanya.

BACA LAGI : Remaja hilang 8 hari lepas ambil gaji ditemukan mati dalam semak di Sabak Bernam

425515315_798622052292773_6216825944038209556_n

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. — Facebok

BACA LAGI : Padah cabul kehormatan wanita di pasar raya, pekerja warga asing menggigil minta maaf

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan boleh di denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Ujarnya, polis juga sudah selesai mengambil kenyataan daripada pengasuh dan pekerja pusat asuhan terbabit.

“Bagi ibu bapa mangsa, kenyataan akan diambil selepas urusan pengebumian mangsa selesai di Kelantan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang justifikasi berkaitan dengan kes ini sebelum siasatan selesai.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 011-21112824,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram