'Takut data disalah guna', PBT, JKKK perlu bantu perjelas, daftar Sistem PADU kepada penduduk kawasan pedalaman


  • Massa
  • Isnin, 08 Jan 2024

Segelintir pengguna berasakan sistem PADU tidak mesra pengguna dan pendaftaran pangkalan data tersebut agak mengelirukan. — Gambar hiasan

FAKTOR usia yang lanjut, buta huruf dan tiada pengetahuan Teknologi Maklumat (IT) adalah antara masalah sesetengah penduduk di kawasan pedalaman belum mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Hasil tinjauan Majoriti di media sosial, ada segelintir warga emas yang meluahkan kerisauan untuk mendaftar PADU kerana takut data mereka disalah guna.

Kebanyakan mereka yang berada di kawasan pedalaman juga kurang didedahkan dengan maklumat sistem PADU ini.

Selain itu, ada yang berasakan sistem tersebut tidak mesra pengguna, selain pendaftaran pangkalan data PADU agak mengelirukan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan penting dan bergiat dalam membantu kerajaan menghebahkan sistem PADU ini.

Ia perlu bagi mengelakkan rakyat yang memerlukan tercicir daripada menerima subsidi dan bantuan yang bakal diberikan.

Bagi seorang warga maya, Sahir M.Rahim berpendapat ketua kampung atau penghulu patut bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat tersebut pada penduduk terutamanya di kawasan pedalaman.

"Ketua kampung atau penghulu buat inisiatif hebahan dan membantu mereka yang tidak tahu mendaftar sistem PADU," katanya.

Segelintir warga emas yang meluahkan kerisauan untuk mendaftar PADU kerana takut data mereka disalah guna. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Pendaftaran PADU tidak mesra pengguna, warga emas desak kerajaan buat kelas tutorial guna sistem online

Pendapatnya itu turut disokong Izzuan Muhd.

"Betul, saya setuju hebahan PADU ini adalah tugas ketua kampung.

"Tak kan nak dapat elaun sahaja. Minta tenaga muda di kampung itu membantu," katanya.

Sementara itu, Jasmine Ai pula mencadangkan kakitangan majlis daerah dan penghulu menyediakan platform perkongsian maklumat yang asas.

"Sediakan maklumat yang senang untuk difahami terutamanya bagi mereka yang buta huruf atau tidak celik teknologi maklumat.

"Sekurang-kurangnya inisiatif tersebut dapat membantu. Selain itu, mereka juga perlu berusaha mempertingkatkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap PADU," katanya.

Untuk rekod, PADU adalah pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.

Dalam erti kata lain, PADU merupakan sistem yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu.

Salah satu kepentingan mendaftar PADU adalah untuk memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Sehubungan itu, setiap isi rumah perlu memastikan maklumat diri mereka disahkan dan dikemas kini dalam sistem PADU sehingga 31 Mac ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram