PIHAK pengurusan sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam, Selangor menafikan dakwaan individu tertentu yang menuduh taska berkenaan cuba menyembunyikan sebarang bukti dalam insiden kematian melibatkan seorang bayi berusia tiga bulan pada Isnin lalu.
Penyelia pusat jagaan tersebut, Mohamad Hafis Abd Manap berkata, pihaknya sudah memberikan kerjasama penuh sejak awal kejadian berkenaan.
Ujarnya, ia termasuk menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di premis berkenaan.
"Kita akan bantu siasatan sepenuhnya, tiada apa yang kita nak sembunyikan," katanya ketika dihubungi Majoriti pada Sabtu.
Beliau pada masa sama turut mengesahkan bahawa pusat jagaan tersebut diarahkan menutup operasinya oleh JKM sementara menunggu siasatan selesai.
Ujar Mohamad Hafis, dia juga tidak dapat memberikan sebarang kenyataan lanjut kerana siasatan masih sedang dijalankan.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook dipercayai ahli keluarga terdekat mangsa mendakwa pihak taska cuba menutup kesalahan dilakukan sehingga membawa kepada kematian bayi tersebut.
Dalam satu hantaran pada Jumaat, Azleen Hasnera Kasuadinata juga meminta pihak taska supaya memberikan bukti termasuk rakaman penuh CCTV semasa kejadian.
"Kami mohon pemilik taska tersebut serahkan full part CCTV masa kejadian tersebut. Kami perlukan bukti tersebut!
"Buktikan jika benar tiada kesilapan dari pihak taska. Jangan menutup kesalahan demi kepentingan diri sendiri," tulisnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima rakaman CCTV daripada pusat asuhan berkenaan.
Beliau turut meminta semua pihak memberi ruang untuk polis menyelesaikan siasatan berhubung kes tersebut.
"Bagi kita lengkapkan siasatan, apa-apa tunggu keputusan," katanya pada Sabtu.
Mohd Iqbal pada Khamis memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa.
Beliau sebelum itu pada Rabu mengesahkan mengenai kes kematian melibatkan seorang bayi berusia tiga bulan yang dihantar di sebuah pusat asuhan di Setia Alam.
BACA LAGI: Jatuh ketika ikat balak belakang lori, pemandu maut digilis jentera berat di Jerantut
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. — Facebook
Dalam satu kenyataan, Mohd Iqbal berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada bapa mangsa pada pukul 2.31 petang Isnin.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dihantar kali pertama oleh bapanya ke pusat asuhan terbabit pada pukul 8.30 pagi hari berkenaan.
“Pada pukul 10.30 pagi, bapa mangsa dimaklumkan oleh pengurus pusat asuhan mengatakan bayi berkenaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Iqbal berkata, bedah siasat dijalankan pada pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang di Unit Forensik Hospital Shah Alam pada Selasa.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram