SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan di kilometer (KM) 1.4 Lebuhraya Linkedua (Secondlink) arah Utara dekat Tuas, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.
Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Alphard dan motosikal jenis Yamaha MT Tracer.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu Alphard yang secara tiba-tiba membuat pusingan U (U-turn) sehingga penunggang motosikal lelaki berkenaan tidak dapat mengelak dan terus merempuh kenderaan mewah terbabit.
Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan mangsa merempuh bahagian pintu depan pemandu Alphard sehingga remuk teruk.
BACA LAGI: [VIDEO] Abang cari saksi, tuntut bela kematian adik kemalangan di Juru
BACA LAGI: 'Kepercayaan' ibu bapa antara punca anak guna helmet kualiti rendah — Pakar
Video kemalangan yang dirakam oleh orang awam itu turut tular di media sosial pada hari yang sama. Melalui video yang dikongsikan kelihatan mangsa yang sudah tidak bernyawa dalam keadaan yang memilukan.
Keadaan jalan raya juga kelihatan sesak ekoran daripada orang awam yang memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat insiden terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, Rahmat Ariffin mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, kemalangan itu berlaku pada pukul 12.20 tengah hari membabitkan sebuah Toyota Alphard dan sebuah motosikal Yamaha MT Tracer.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Alphard yang membuat pusingan U secara tiba-tiba hingga penunggang motosikal berkenaan tidak dapat mengelak dan terus merempuh kenderaan terbabit.
"Penunggang motosikal yang berumur 42 tahun cedera parah di kepala dan maut di tempat kejadian," katanya pada Jumaat.
Tambah Rahmat lagi, pemandu Toyota Alphard berusia 33 tahun yang juga seorang juruterbang termasuk dua penumpang yang bekerja sebagai arkitek berusia 31 dan 32 tahun serta seorang warga emas berusia 60 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang maut mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram